KLUANG – Seorang bekas pelajar Sekolah Tinggi Kluang (STK) teruja apabila akhirnya mendapatkan tandatangan Menteri Besar Johor atas surat tawaran menyertai Asia Youth International Model United Nation yang ke 22 di Kuala Lumpur pada Ogos ini.
Hasrat Siti Nur Aisyah Abdullah, 18, itu tercapai juga akhirnya sebelum program tersebut berlangsung pada 21 hingga 24 Ogos ini selepas kisahnya gagal mendapat tandatangan Onn Hafiz dikatakan dihalang dan dihalau tular sebelum ini.
Siti Nur Aisyah melahirkan rasa syukur kerana diberi peluang untuk mendapatkan tandatangan serta ucapan penghargaan daripada Menteri Besar Johor.
“Onn Hafiz sebenarnya seorang pemimpin mudah untuk ditemui apabila pengurusan benar-benar membantu dan ia terbukti apabila saya menemui seorang yang memahami dan ingin membantu bawa saya berjumpa dengannya.
“Dakwaan beliau tidak melayani permintaan saya serta sombong dalam satu program di Kluang baru-baru ini adalah tidak benar sama sekali, malah beliau melayani permintaan saya dengan penuh senyuman hari ini” katanya.
Aisyah berkata demikian selepas berjaya mendapatkan tandatangan Onn Hafiz selepas program penyerahan hak milik geran di Dewan Datuk Onn, Rumah Komuniti Sembrong di Taman Sri Lambak, di sini hari ini.
Sebelum ini sebuah portal melaporkan berita bertajuk ‘Sedihnya, nak jumpa MB tapi kena halau’ tular selepas dia didakwa dihalau semasa mahu mendapatkan tanda tangan Onn Hafiz dalam program Jom Lepak Orang Muda Johor di Kluang
Kejadian itu dimuat naik dalam akaun TikTok miliknya itu menceritakan tentang kegagalan seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) untuk membawanya bertemu Onn Hafiz tetapi diputar belit kononnya dihalau.- MalaysiaGazette
















