Seorang penunggang motosikal maut dalam kemalangan melibatkan sebuah lori tiga tan dan motosikal di hadapan sebuah kilang di Jalan Batang Kali-Kuala Kubu Baharu, Hulu Selangor, awal pagi tadi.

HULU SELANGOR – Seorang penunggang motosikal maut manakala seorang pemandu lori mengalami kecederaan selepas terbabit dalam kemalangan melibatkan sebuah lori tiga tan dan motosikal di hadapan sebuah kilang di Jalan Batang Kali-Kuala Kubu Baharu, di sini, awal pagi tadi.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ashrul Riezal Asbar, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 5.09 pagi.

Beliau berkata, sejurus menerima panggilan, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Kubu Baharu bersama bantuan BBP Bukit Sentosa digerakkan ke lokasi kejadian.

“Jentera bomba tiba di lokasi kira-kira jam 5.39 pagi selepas menempuh perjalanan sejauh 21 kilometer.

“Sebaik tiba di lokasi, pasukan bomba mendapati kemalangan membabitkan sebuah lori tiga tan yang membawa muatan ikan dan sebuah motosikal Yamaha Avantis.

“Seorang lelaki warga tempatan berusia 60 tahun yang merupakan pemandu lori didapati tersepit pada bahagian kaki namun masih sedarkan diri.

“Manakala kelindan lori berusia 45 tahun telah berjaya keluar dari kenderaan dan dihantar ke hospital oleh orang awam sebelum ketibaan pasukan penyelamat,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Seorang lelaki pemandu lori tersepit pada bahagian kaki selepas terlibat dalam kemalangan melibatkan sebuah lori tiga tan dan motosikal di hadapan sebuah kilang di Jalan Batang Kali-Kuala Kubu Baharu, Hulu Selangor, awal pagi tadi.

Beliau berkata, seorang lagi mangsa iaitu penunggang motosikal, lelaki berusia 29 tahun, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

“Pasukan bomba kemudiannya menjalankan operasi menyelamat menggunakan peralatan khas bagi mengeluarkan pemandu lori yang tersepit.

“Mangsa berjaya dikeluarkan dan diserah kepada pasukan ambulans untuk menerima rawatan lanjut, manakala mayat penunggang motosikal diserahkan kepada pihak polis bagi tindakan susulan,” katanya.

Operasi yang melibatkan 12 anggota bomba bersama dua jentera iaitu sebuah Fire Rescue Tender (FRT) dan sebuah Light Fire Rescue Tender (LFRT) diketuai oleh Pegawai Bomba Kanan I Mohd Adnan Firdaus Abd Jamil.

Operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 7.11 pagi selepas keadaan lokasi disahkan selamat dan terkawal.

Punca kemalangan masih dalam siasatan pihak berkuasa. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast