KULAI – Pakatan Harapan (PH) tidak meletakkan harapan kepada kelemahan atau perpecahan parti lawan untuk meraih kemenangan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
Sebaliknya memberi tumpuan memperkukuhkan kekuatan sendiri menerusi persiapan rapi dan kerja keras jentera parti.
Ketua Setiausaha PH, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, tumpuan PH ketika ini adalah memastikan calon terbaik diketengahkan selain memperkukuh kesiapsiagaan jentera, logistik dan strategi kempen di semua kerusi yang ditandingi.
“Kita tengok ada calon kita yang bertanding satu lawan satu, ada yang tiga penjuru dan ada juga lima penjuru seperti di Bukit Batu. Itu perkara biasa dalam demokrasi.
“Bagi PH kita tumpukan kepada membina kekuatan kita sendiri. Calon-calon yang terbaik daripada kalangan yang terbaik, persiapan jentera dan logistik yang maksimum, kemudian strategi kempen yang berkesan,” katanya pada sidang media di sini hari ini.
Beliau berkata, tempoh kempen rasmi hanyalah kesinambungan kepada gerak kerja yang telah dimulakan lebih awal menerusi siri jelajah di seluruh Johor.
“Sepanjang kempen ini cuma kesinambungan kerana kita sudah pun bermula lebih awal dalam siri-siri jelajah. Itu adalah konsep biasa,” ujarnya.
Saifuddin berkata, apa juga yang berlaku dalam kem lawan tidak akan mengubah pendekatan PH yang hanya bergantung kepada usaha dan persiapan sendiri.
“Apa pun yang berlaku kepada lawan, kekuatan PH hanya akan wujud hasil daripada kerja kuat dan persiapan kami sendiri.
“Kami tidak menjadi kuat kerana lawan bercelaru atau lemah. Itu prinsip yang kami pegang,” ujarnya. – MalaysiaGazette
















