Pengerusi PKR Johor, Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa bercakap pada sidang media di Bilik Gerakan Utama Keadilan Jalan Serampang, Tebrau. Foto SADIQ SANI, 27 JUN 2026.

JOHOR BAHRU – Pakatan Harapan (PH) Johor dijangka melancarkan manifestonya dalam masa terdekat dengan fokus terhadap kira-kira 10 tawaran utama yang disifatkan memenuhi keperluan semasa rakyat negeri itu.

Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR Johor, Datuk Seri Dr. Zaliha Mustapha berkata, manifesto tersebut kini berada pada peringkat akhir penyediaan.

Menurut beliau, beberapa tawaran merupakan penambahbaikan daripada manifesto terdahulu, manakala selebihnya disesuaikan dengan cabaran semasa rakyat.

“Kita ada kira-kira 10 perkara utama dalam manifesto yang benar-benar menyentuh keperluan rakyat Johor.

“Sebahagiannya merupakan penambahbaikan kepada manifesto lalu, namun ada juga tawaran baharu yang lebih relevan dengan keadaan semasa,” katanya pada sidang media di Bilik Gerakan Utama Keadilan, di sini, hari ini.

Selain itu, katanya, antara fokus utama manifesto ialah pembangunan anak muda, peluang pekerjaan, pemilikan rumah dan peningkatan taraf hidup rakyat.

Bagaimanapun, beliau enggan mendedahkan butiran lanjut sehingga pelancaran rasmi manifesto dilakukan.

Dalam pada itu, PKR Johor optimis momentum sokongan terhadap PH semakin meningkat menjelang PRN Johor berdasarkan sambutan rakyat dalam beberapa program sebelum ini.

“Gelombang sokongan itu dapat dilihat sejak Konvensyen Harapan Johor pada Mei lalu. Kita melihat gelombang sokongan itu berterusan dari selatan, tengah hingga utara Johor.

“Kehadiran lebih 15,000 orang ketika pengumuman calon baru-baru ini memberi keyakinan bahawa sokongan terhadap PH semakin baik,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast