KUALA LUMPUR – Tiada istilah putus asa atau kecewa buat calon Perikatan Nasional (PN) kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Gambir, Suraya Sulaiman untuk terus mencuba nasib merebut kerusi itu meskipun pernah tewas pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor lalu.
Sebaliknya, menurut Ketua Penerangan Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) Johor, kekalahan lalu mendorongnya untuk bekerja lebih keras mendekati penduduk dan menyelesaikan masalah yang dihadapi rakyat di DUN itu.

Malah, gerak kerja meyantuni pelbagai lapisan masyarakat itu juga tidak pernah berhenti meskipun tewas pada PRN lalu iaitu sejak lebih empat tahun lalu.
“Saya ambil kekalahan itu sebagai pengajaran, pengalaman dan batu loncatan untuk saya lebih memperbaiki diri dan berusaha lebih baik dalam kerja-kerja menyantuni masyarakat.
“Apa yang penting bagi saya adalah tidak meninggalkan sama sekali pengundi di kawasan ini apatah lagi saya sendiri merupakan anak tempatan di sini,” katanya kepada MalaysiaGazette ketika ditemui sewaktu berkempen di Kampung Sawah Ring, di sini semalam.

Tambah Suraya yang merupakan anak jati Gersik, Tangkak itu, sebagai penduduk tempatan, beliau secara peribadi memahami isu-isu setempat, permasalahan serta apa yang diharapkan oleh pengundi di DUN Gambir tersebut.
Sehubungan itu, katanya, beliau berharap diberi peluang untuk mewakili suara dan harapan penduduk di DUN Gambir tersebut selaku wakil rakyat untuk dibawa ke peringkat lebih tinggi sama ada di peringkat kerajaan negeri atau Kerajaan Pusat.
“Harapan ini mungkin kedengaran terlalu besar, tetapi saya percaya kepada kemampuan saya kerana saya bukan baru terlibat dalam kerja-kerja politik atau turun padang menyantuni masyarakat,” katanya.
Pada PRN Johor kali ini, Suraya akan berdepan persaingan tiga penjuru dengan sekali lagi bersaing dengan calon Barisan Nasional (BN) Sahrihan Jani serta calon Pakatan Harapan (PH), Mohd Nor Mohd Yusof. – MalaysiaGazette
















