Ahli Parlimen Jelutong, RSN Rayer

KUALA LUMPUR – Dewan Rakyat hari ini diberitahu kerajaan perlu memberi penjelasan mengenai peningkatan kes jenayah seksual terhadap kanak-kanak dalam negara sebelum memperluaskan tindakan terhadap pesalah yang berada di luar negara.

Ahli Parlimen Jelutong, RSN Rayer berkata, pindaan Rang Undang-Undang (RUU) Kesalahan-Kesalahan Seksual terhadap Kanak-Kanak (Pindaan) 2026 adalah langkah baik namun perlindungan kanak-kanak tidak boleh hanya tertumpu kepada individu yang melakukan kesalahan di luar negara.

Beliau berkata, persoalan lebih besar ialah bagaimana kerajaan menangani kes jenayah seksual terhadap kanak-kanak yang berlaku dalam Malaysia yang semakin membimbangkan.

“Undang-undang ini kita ingin mengambil tindakan terhadap orang-orang yang berada di luar negara.

“Bagaimana dengan individu-individu yang melakukan kesalahan-kesalahan di Malaysia? Dewasa ini di Malaysia banyak sangat kes-kes yang melibatkan jenayah seksual terhadap kanak-kanak,” katanya ketika membahaskan RUU berkenaan di Dewan Rakyat hari ini.

Menurut Rayer, kerajaan perlu memperjelaskan langkah yang diambil termasuk memperkukuh kapasiti penguatkuasaan, menambah anggota serta kepakaran dalam unit berkaitan jenayah seksual kanak-kanak.

Beliau turut membangkitkan isu laporan berkaitan peningkatan kes di beberapa negeri termasuk Kelantan dan meminta kerajaan memberi penjelasan mengenai tindakan susulan bagi menangani perkara tersebut.

“Kerajaan Madani perlu melindungi kanak-kanak kita. Kita nak ambil tindakan terhadap orang di luar negara tetapi bagaimana pula dengan pesalah seksual di negara kita?” soal beliau.

Dalam masa sama, Rayer menyambut baik pindaan akta tersebut yang membolehkan tindakan diambil terhadap individu yang mempunyai kaitan dengan Malaysia sekiranya melakukan kesalahan seksual terhadap kanak-kanak di luar negara.

Namun, katanya, pendekatan tersebut perlu disertai tindakan lebih menyeluruh dalam negara termasuk pencegahan, pemantauan dan penguatkuasaan supaya keselamatan kanak-kanak benar-benar terjamin. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast