KUALA LUMPUR – Pertandingan World of Robotics Championship (WRC) PRO 2026 menghimpunkan pelajar berusia 13 hingga 19 tahun daripada pelbagai institusi pendidikan termasuk Kolej Vokasional dan Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) bagi mengasah kemahiran dalam bidang robotik dan teknologi.
Penganjuran pertandingan yang berlangsung di Asia Pacific University of Technology & Innovation (APU), Taman Teknologi Malaysia itu bertujuan memupuk kemahiran teknologi abad ke-21, kreativiti serta inovasi dalam kalangan generasi muda selaras dengan agenda Sains, Teknologi, Inovasi dan Ekonomi (STIE) negara.
Majlis turut diserikan dengan kehadiran Timbalan Ketua Setiausaha (Perancangan dan Pembudayaan Sains) Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Datuk Ruziah Shafei yang memberikan sokongan serta semangat kepada para peserta.
Memasuki edisi kelapan penganjurannya, WRC PRO 2026 terus menjadi platform kompetitif dalam mencungkil dan mengetengahkan bakat pelajar serta belia dalam bidang robotik dan teknologi.
Program itu juga selaras dengan aspirasi MOSTI untuk memacu Malaysia ke arah negara berteknologi tinggi menerusi pembudayaan Sains, Teknologi, Inovasi (STI) serta STEM dalam kalangan generasi muda. – MalaysiaGazette
















