PAGOH – Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin mengajak rakyat mengenang semula jasa pentadbiran Perikatan Nasional (PN) yang menurutnya berjaya membantu rakyat ketika negara berdepan pandemik Covid-19.
Beliau berkata, bantuan yang disalurkan kerajaan ketika beliau menjadi Perdana Menteri enam tahun lalu dapat disampaikan dengan cepat kepada rakyat kerana pentadbiran ketika itu mempunyai sistem pengurusan yang berkesan.
Menurut Pengerusi PN itu, pengalaman mentadbir negara ketika krisis kesihatan itu membuktikan PN mempunyai sistem penyampaian bantuan yang cekap sehingga wang bantuan dapat disalurkan terus ke akaun penerima dalam tempoh singkat.
“Saudara masih ingat zaman Covid?. Waktu itu, macam mana Allah tetapkan saya jadi Perdana Menteri. Tapi zaman susah, zaman wabak penyakit yang melanda seluruh negara dan seluruh dunia.
“Dalam keadaan yang susah itu pun, kerana ini satu amanah dan tanggungjawab, saya pikul. Saya usahakan bersungguh-sungguh, tak tidur siang dan malam, memikirkan bagaimana negara mesti diselamatkan, rakyat kita jangan mati oleh penyakit atau mati kerana tidak ada makanan di atas meja,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada program Sembang Santai pada kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor di Kampung Jayor, Bukit Kepong di sini hari ini.
Hadir sama calon PN bagi DUN Bukit Kepong, Datuk Dr Sahruddin Jamal yang juga Pengerusi Bersatu dan Pengerusi PN Johor.
Muhyiddin turut membandingkan penyaluran Bantuan Kasih Johor (BKJ) oleh kerajaan negeri ketika ini yang didakwanya memerlukan rakyat menunggu lama untuk menerima bantuan.
“Ada orang kata Johor ini dah okey, Menteri Besar hebat bagi bantuan BKJ. Banyak mana? RM200. Waktu zaman saya berapa banyak?
“Bila ada pengumuman Perdana Menteri, semua tunggu depan televisyen nak tengok apa yang Tan Sri Muhyiddin nak umum.
“Bukan ambil masa berbulan. Dalam masa seminggu, tengok dalam akaun bank, dapat duit lagi RM2,000, RM3,000. Betul tak?
“Itu cara kita menguruskan. Waktu saya kita belanja berpuluh-puluh bilion (ringgit), tak ada orang tunggu. Duit masuk terus dalam akaun kerana ada sistem,” katanya.
Untuk rekod, Muhyiddin mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri kelapan pada 1 Mac 2020 ketika negara berdepan pandemik Covid-19.
Sepanjang pentadbirannya, kerajaan memperkenalkan pelbagai pakej bantuan meliputi aspek kesihatan, ekonomi dan sosial bagi membantu rakyat serta perniagaan menghadapi kesan pandemik Covid-19 dan kejatuhan harga minyak dunia. – MalaysiaGazette
















