JOHOR BAHRU – Calon Pakatan Harapan (PH) bagi kerusi N.47 Kempas, Muhammad Faezuddin Mohd Puad bertekad untuk terus mendampingi masyarakat serta memberi keutamaan kepada penyelesaian isu kemudahan asas sekiranya diberi mandat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
Beliau berkata, pendekatan turun padang yang diamalkan sejak sekian lama membolehkan dirinya mengenali penduduk setempat dengan lebih dekat, sekaligus memudahkan usaha memahami keperluan sebenar rakyat.
“Saya rasa yang hadir malam ini bercampur-campur, ada penyokong PH dan ada juga pengundi atas pagar yang datang untuk mendengar sendiri tawaran yang kita bawa.
“Alhamdulillah, sambutan sangat baik. Apabila ditanya sama ada mereka bersedia menyokong PH, semuanya memberikan maklum balas yang positif.
“Saya anggap ini satu petanda yang baik,” katanya ketika ditemui selepas Ceramah Kelompok Pusat Daerah Mengundi (PDM) Lembah Kempas di sini malam tadi.

Faezuddin berkata, kawasan itu bukan asing baginya kerana sejak aktif dalam Angkatan Muda Keadilan (AMK) dan seterusnya sebagai Ketua Cabang, beliau kerap turun menyalurkan bantuan kepada penduduk.
“Kebanyakan mereka memang saya kenal. Hubungan kami sudah lama terjalin, malah ada yang saya anggap seperti keluarga sendiri.
“Apabila hubungan itu sudah rapat, lebih mudah untuk kita mendengar dan memahami masalah mereka,” katanya.
Anak jati Kempas itu berkata, antara isu yang paling kerap dibangkitkan penduduk ialah keperluan menambah baik kemudahan asas terutama fasiliti kesihatan.
Menurutnya, kawasan berkenaan mempunyai ramai warga emas yang memerlukan akses kepada perkhidmatan kesihatan yang lebih baik dan perkara itu akan menjadi antara keutamaan sekiranya beliau dipilih sebagai wakil rakyat.
“Permintaan mengenai klinik dan kemudahan kesihatan adalah antara perkara utama yang sering disebut setiap kali saya turun padang.
“Isu ini perlu diberi perhatian kerana ia melibatkan keperluan harian rakyat,” katanya.
Selain itu, beliau turut menerima permintaan daripada sebahagian penduduk berkaitan keperluan pendidikan, termasuk isu melibatkan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil.
Jelasnya, perkara tersebut memerlukan perbincangan bersama pihak berkaitan termasuk Kementerian Pendidikan bagi mencari penyelesaian terbaik.
“Isu ini sudah lama dibangkitkan dan saya berpandangan ia perlu diberikan perhatian segera. Kita akan berbincang dengan pihak berkaitan untuk melihat bagaimana ia boleh diselesaikan secara berperingkat,” katanya.
Mengulas harapannya kepada pengundi Kempas, Faezuddin memberi jaminan akan terus mengamalkan budaya turun padang dan berkhidmat kepada rakyat tanpa mengira musim pilihan raya.
“Sebelum menjadi calon pun saya sudah biasa turun membantu masyarakat. Insya-Allah, jika diberikan amanah sebagai wakil rakyat, saya akan terus bersama rakyat dan memastikan setiap isu yang dibangkitkan mendapat perhatian sewajarnya,” katanya lagi. – MalaysiaGazette
















