Setiausaha Agung Parti Amanah Negara, Muhammad Faiz Fadzil.

KUALA LUMPUR – Parti Amanah Negara (Amanah) menyifatkan kenyataan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang bahawa matlamat parti itu dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16 adalah untuk memastikan negeri itu diterajui orang Melayu dan Islam menunjukkan Pas sekali lagi bermain dengan sentimen.

Sedangkan, menurut Setiausaha Agung Amanah, Muhammad Faiz Fadzil, keperluan sebenar rakyat Johor adalah memastikan pembangunan yang berterusan di negeri itu.

Menurutnya, kenyataan Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man pula yang menggesa ahli parti itu mengundi Barisan Nasional (BN) di kerusi yang tidak ditandingi Perikatan Nasional (PN) memberikan isyarat bahawa Pas sedang menagih tempat dalam kerajaan negeri Johor sekiranya BN menang.

Dakwa beliau, isyarat itu menunjukkan konflik hala tuju dalam Pas dan ia sangat berbahaya kepada rakyat Johor kerana bakal mewujudkan ketidakstabilan dalam pentadbiran kerajaan negeri.

“Ini adalah kerana Pas memang dikenali sebagai parti yang menjadi punca kepada ketidakstabilan politik dalam negara.

“Kali ini dalam PRN Johor, Pas cuba mencatur kuasa sekali lagi.

“Pas terlibat memulakan Langkah Sheraton dan sekarang gagal menguruskan PN dengan baik apabila berpecah dengan Bersatu tetapi masih bersama Bersatu dalam koalisi PN.

“Ironinya, Pas mengumumkan juga untuk tidak membantu Bersatu dalam PRN Johor ini. Ini bermakna Pas bersama Bersatu di siang hari, tetapi bersama UMNO pula di waktu malam,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dakwanya lagi, ketidaktentuan hala tuju Pas itu juga menunjukkan parti itu hanya mengutamakan kuasa berbanding prinsip.

Beliau turut mempersoalkan mengapa Bersatu `diceraikan’ dan memilih UMNO sekiranya Pas benar-benar memperjuangkan penyatuan umat.

“Jelas, Pas kemaruk kuasa, sedangkan Pas gagal membentangkan polisi ekonomi yang tuntas untuk membangunkan Johor.

“Kegagalan pentadbiran Pas di negeri SG4 jangan diizinkan berjangkit ke negeri Johor,” katanya.

Sementara itu, tambah Muhammad Faiz, dalam keadaan rakyat Johor memerlukan pembangunan berterusan, peluang kepada Pakatan Harapan (PH) untuk mentadbir Johor perlu diberikan oleh rakyat Johor dalam PRN kali ini.

Katanya, ini adalah kerana pembangunan yang mampan bergantung kepada kestabilan politik.

“Hakikatnya, PH telah membuktikan kemampuan mengekalkan kestabilan dalam politik dan pentadbiran negara,” katanya. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast