Calon Pakatan Harapan N14 Bukit Naning, Ysahrudin Kusni bercakap kepada media selepas menyantuni penduduk kampung sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16 ketika Bukit Naning, Muar, Johor. Foto MOHD ADZLAN, 28 JUN 2026

MUAR – Pendekatan kempen calon Pakatan Harapan (PH) Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Naning tidak hanya terbatas kepada kunjungan dan bersalaman, sebaliknya mendengar, memahami dan menyelami sendiri kehidupan masyarakat setempat.

Itulah dilakukan Md Ysahrudin Kusni memasuki hari ke empat setiap siri turun padang pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16 bermula Sabtu lalu.

Bekas ADUN kerusi sama pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) 2018 itu berkata, menjadi rutinnya menyantuni semua golongan termasuk warga emas, berinteraksi secara langsung dengan usahawan kecil dan penduduk pelbagai lapisan masyarakat.

“Tiada jalan yang terlalu jauh, tiada pintu yang terlalu sukar untuk diketuk apabila niat saya adalah berkhidmat kepada rakyat itu menjadi pendekatan dizahirkan dalam setiap pertemuan.

“Namun, apa yang membezakan pendekatan kali ini ialah penekanan bahawa kempen bukan hanya soal hadir atau menghulur salam, tetapi lebih kepada mendengar kisah sebenar kehidupan masyarakat,” katanya.

Timbalan Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR Johor itu berkata, setiap kunjungan membuka ruang kepada penduduk untuk berkongsi isu harian, daripada tekanan kos sara hidup, cabaran perniagaan kecil, sehinggalah kepada keperluan asas komuniti setempat.

“Proses turun padang ini dilihat sebagai medan memahami realiti sebenar rakyat, bukan sekadar program simbolik kempen pilihan raya untuk sekadar meraih undi.

“Ia adalah peluang untuk mendengar, memahami dan mencari jalan penyelesaian kepada setiap permasalahan yang dihadapi rakyat di setiap pelusuk Bukit Naning,” tambahnya.

Md Ysahrudin berkata, pendekatan yang lebih ‘mendengar sebelum berkata’ itu turut memberi ruang kepada penduduk untuk meluahkan pandangan secara terbuka tanpa rasa kekok, menjadikan setiap sesi ziarah lebih bersifat dialog dua hala berbanding acara formal politik.

“Di sebalik setiap pertemuan, saya cuba menjauhkan diri daripada sekadar formaliti politik, sebaliknya menekankan kehadiran yang lebih manusiawi.

“Rakyat bukan sekadar angka atau undi tetapi mereka adalah amanah yang perlu dipikul dengan hati, bukan sekadar dengan kata-kata,” ujarnya. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast