Calon PH DUN Gambir, Mohd Nor Mohd Yusof ketika berkempen sempena PRN Johor ke-16.

KUALA LUMPUR – Calon Pakatan Harapan (PH) di Dewan Undangan Negeri (DUN) Gambir, Mohd Nor Mohd Yusof menawarkan enam tekad kepada pengundi di kawasan itu sekiranya dipilih sebagai wakil rakyat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16.

Enam tekad yang bersifat manifesto peribadi itu menyentuh pelbagai agenda pembangunan dan kebajikan masyarakat hasil pemantauan beliau sepanjang kira-kira tiga tahun turun padang dan menyantuni penduduk setempat di DUN Gambir.

Berkongsi tekad itu, katanya, antara yang menjadi fokus utama adalah menyediakan infrastruktur dan prasarana yang berkualilti, sekali gus memastikan kehidupan rakyat yang selesa serta berkualiti.

Menerusi tekad itu, jelas beliau, antara yang akan diperjuangkan adalah menaik taraf jalan raya, jalan kampung, dan longkang yang lebih baik.

“Ini termasuk menambah baik lampu jalan, liputan internet, kemudahan awam, taman rekreasi dan ruang komuniti bagi mewujudkan persekitaran yang lebih selamat, selesa dan mesra keluarga,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Tambah Mohd Yusof yang juga anak jati kelahiran Tangkak itu, tekad kedua pula adalah untuk memperkasa ekonomi rakyat.

Jelasnya, ia termasuk dengan membantu usahawan, peniaga, petani, pekebun dan perusahaan kecil melalui latihan, akses pembiayaan, pemasaran digital serta peluang ekonomi baharu.

Sementara itu, ujarnya yang merupakan seorang ahli perniagaan, tekad ketiga pula adalah menjaga kebajikan rakyat secara menyeluruh dengan memastikan tiada golongan masyarakat yang tercicir atau terpinggir.

“Ini termasuk memastikan warga emas, golongan orang kurang upaya (OKU), ibu tunggal, keluarga B40 dan golongan memerlukan mendapat perhatian, bantuan dan akses kepada perkhidmatan kebajikan melalui Pusat Khidmat Rakyat yang lebih responsif,” katanya.

Sementara itu, tumpuan dan perhatian kepada golongan belia yang merupakan segmen pengundi paling besar juga tidak dipinggirkan apabila tekad keempat beliau menyentuh mengenai usaha melahirkan belia berkemahiran, sekali gus memastikan masa depan mereka terjamin.

Calon PH DUN Gambir, Mohd Nor Mohd Yusof ketika berkempen sempena PRN Johor ke-16.

“Ini termasuk memperluaskan peluang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), latihan kemahiran, keusahawanan, teknologi digital dan kecerdasan buatan (AI) supaya anak muda Gambir memperoleh pekerjaan serta mampu mencipta peluang ekonomi sendiri,” katanya.

Bagi tekad kelima pula, tambah Mohd Nor, adalah memastikan penduduk DUN Gambir mendapat akses kepada pendidikan yang berkualiti, sekali gus melahirkan anak tempatan yang berjaya.

Jelasnya, menerusi tekad itu, beliau akan memperjuangkan kemudahan sekolah, bantuan pendidikan, kelas tuisyen, program berasaskan bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) dan pembangunan sahsiah agar setiap anak Gambir mendapat peluang pendidikan yang terbaik.

Terakhir, kata beliau, adalah tekad keenam yang menyentuh mengenai pentadbiran berasaskan amanah dan kesediaan untuk berkhidmat kepada semua lapisan masyarakat di Gambir tanpa mengira kaum dan latar belakang sosial.

“Saya akan terus mengamalkan politik khidmat seperti yang sudah sering dilakukan sebelum ini iaitu dengan turun padang secara konsisten, mendengar setiap suara rakyat serta menyelesaikan isu tanpa mengira kaum, agama atau latar belakang,” katanya. – MalaysiaGazette

 

 

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast