KUALA LUMPUR – Senator Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar merupakan antara tujuh ahli barisan baharu Majlis Penasihat Syariah (MPS) Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) yang dilantik bagi tempoh tiga tahun bermula 1 Julai 2026 hingga 30 Jun 2029.
Enam lagi ahli merupakan pelantikan semula iaitu Profesor Dr Engku Rabiah Adawiah Engku Ali, Datuk Dr Ashraf Md Hashim, Sahibus Samahah Profesor Datuk Dr Asmadi Mohamed Naim, Sahibus Samahah Datuk Dr Anhar Opir, Dr Marjan Muhammad dan Burhanuddin Lukman.
SC berkata, MPS yang ditubuhkan pada 16 Mei 1996 di bawah Akta Suruhanjaya Sekuriti Malaysia 1993 merupakan pihak berkuasa yang menentukan aplikasi prinsip Syariah dalam perniagaan dan transaksi pasaran modal Islam (ICM).
Selain itu, MPS turut memainkan peranan dalam menyokong pertumbuhan pasaran melalui penerbitan resolusi dan panduan dasar, di samping mengekalkan integriti Syariah dalam ekosistem kewangan Islam negara.
Pengerusi SC, Datuk Mohammad Faiz Azmi berkata, MPS memainkan peranan penting dalam memastikan ICM Malaysia kekal responsif terhadap perubahan pasaran yang sentiasa berkembang, di samping menegakkan prinsip Syariah berteraskan Maqasid al-Syariah.
“Panduan yang diberikan oleh MPS terus menyokong inovasi, kemampanan dan pertumbuhan jangka panjang ekosistem ICM,” katanya.
Beliau berkata, komposisi baharu MPS dengan gabungan kepakaran dan pengalaman ahli-ahlinya berada pada kedudukan terbaik untuk memberikan panduan yang mantap serta berpandangan jauh dalam hal ehwal Syariah.
“Dengan kepimpinan Islam yang dipandu oleh Maqasid al-Syariah sebagai pembeza utama, MPS akan terus memacu pertumbuhan dan kepimpinan global ICM Malaysia,” katanya.
Pada masa sama, beliau merakamkan penghargaan kepada ahli MPS yang tamat perkhidmatan atas sumbangan dan komitmen mereka dalam memperkukuh industri ICM negara.
“Pandangan dan kepimpinan mereka telah membantu memajukan ICM Malaysia ke tahap yang lebih tinggi,” katanya. – MalaysiaGazette
















