KUALA LUMPUR – MCA menggesa kerajaan memberikan penjelasan segera berhubung dakwaan bahawa bekas Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki, telah dilantik sebagai penasihat di Pusat Jenayah Kewangan Kebangsaan (NFCC).
Timbalan Ketua Pemuda MCA Kebangsaan, Mike Chong Yew Chuan berkata, laporan mengenai pelantikan itu menimbulkan kebimbangan serius, terutama ketika pelbagai pertubuhan masyarakat sivil dan orang ramai masih menuntut penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berhubung dakwaan berkaitan “mafia korporat” serta kaitan yang didakwa melibatkan Azam.
Menurutnya, jika individu yang masih menjadi perhatian awam boleh memegang peranan sebagai penasihat dalam institusi kerajaan tanpa sebarang siasatan bebas, penemuan rasmi atau penjelasan yang telus, ia menimbulkan persoalan terhadap komitmen kerajaan dalam menegakkan akauntabiliti, ketelusan dan integriti institusi.
“Bagaimana rakyat Malaysia boleh terus yakin terhadap agenda reformasi kerajaan serta janji untuk memperkukuh tadbir urus yang baik jika perkara ini tidak dijelaskan?” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau menegaskan usaha memerangi rasuah tidak boleh dilaksanakan secara terpilih atau berdasarkan kepentingan politik.
“Prinsip integriti dan akauntabiliti mesti ditegakkan secara konsisten tanpa mengira siapa yang terlibat,” katanya lagi.
Mike turut mempersoalkan kekurangan ketelusan berhubung dakwaan pelantikan tersebut.
Katanya, sekiranya laporan itu benar dan pelantikan tersebut sah, kerajaan sepatutnya tidak mempunyai sebab untuk mengelak daripada menjelaskan secara terbuka proses, kriteria serta justifikasi di sebalik keputusan berkenaan.
“Berdiam diri hanya akan meningkatkan keraguan rakyat dan mewujudkan persepsi bahawa persoalan penting sengaja dielakkan,” katanya.
Beliau turut mempersoalkan mengenai status Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI), hasil siasatan bebas serta sebab kerajaan masih belum memberikan penjelasan berhubung isu tersebut.
Menurutnya, Kerajaan Perpaduan sebelum ini berulang kali berikrar untuk mempertahankan ketelusan, integriti dan reformasi institusi.
Sehubungan itu, katanya, komitmen berkenaan perlu dibuktikan melalui tindakan, khususnya dalam isu yang melibatkan kepercayaan rakyat dan kredibiliti institusi antirasuah.
Lantaran itu, Pemuda MCA menggesa perdana menteri dan kerajaan segera menjelaskan sama ada Azam benar-benar telah dilantik sebagai penasihat NFCC, proses dan kriteria yang digunakan dalam pelantikan itu serta justifikasi di sebalik keputusan tersebut.
“Jika dakwaan itu tidak benar, kerajaan juga perlu menjelaskan mengapa tuntutan supaya siasatan bebas dijalankan terus ditolak.
“Rakyat Malaysia tidak mahu keputusan dibuat secara tertutup atau tanpa penjelasan. Mereka berhak mendapat ketelusan, akauntabiliti dan jawapan yang mampu dipertahankan kepada penelitian umum.
“Hanya dengan menangani kebimbangan ini secara terbuka, Malaysia dapat memelihara kredibiliti institusi antirasuah dan memulihkan keyakinan rakyat terhadap agenda reformasi,” katanya. – MalaysiaGazette
















