Tertuduh Gao Yue, Ma Wenlyu dan Ma Yucheng didakwa di Mahkamah Majistret Pulau Pinang hari ini.

GEORGE TOWN – Tiga lelaki warga China masing-masing didenda RM5,000 oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini selepas mengaku bersalah atas pertuduhan bermain judi di sebuah rumah perjudian terbuka, minggu lalu.

Majistret Nadratun Naim Mohd Saidi menjatuhkan hukuman itu selepas kesemua tertuduh, Gao Yue, 25, Ma Wenlyu, 32, dan Ma Yucheng, 27, membuat pengakuan bersalah selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan dalam bahasa Mandarin di hadapannya.

Mahkamah turut memerintahkan mereka dipenjara enam bulan jika gagal membayar denda tersebut.

Mengikut pertuduhan, mereka didakwa secara bersama-sama bermain judi di sebuah premis di The Light Collection 1, Jalan Pantai Sinaran, Gelugor di sini, jam 4.30 petang pada 26 Jun lalu.

Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 6(1) Akta Rumah Perjudian Terbuka 1953 yang dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM5,000 atau penjara sehingga enam bulan atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Ketika prosiding Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Danial Amir Saad memohon mahkamah menjatuhkan hukuman yang setimpal terhadap kesemua tertuduh.

Bagaimanapun, peguam K. Mahendran dan Sharmila Mogan yang mewakili kesemua tertuduh memohon  hukuman denda dengan mengambil kira bahawa kesemua anak guamnya mempunyai tanggungan keluarga selain ini merupakan kesalahan pertama mereka.

Katanya, tertuduh pertama bekerja sebagai jurugambar dengan pendapatan RM2,000 sebulan dan menanggung ibu bapanya yang sudah tua di negara asal.

“Bagi tertuduh kedua pula, bekerja sebagai pegawai logistik dengan pendapatan RM2,500 sebulan serta menanggung isteri dan dua anak yang masih kecil manakala tertuduh ketiga bekerja sebagai jurugambar dengan pendapatan RM2,000 sebulan serta menanggung kedua-dua ibu bapanya.

“Mereka juga menyesal dengan perbuatan dilakukan selain pengakuan bersalah itu telah menjimatkan masa serta kos mahkamah,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast