Tangkap layar memaparkan dua kanak-kanak perempyan mengeluarkan kepala melalui sunroof SUV.

KUALA LUMPUR – Tindakan seorang ibu membiarkan dua anak perempuannya mengeluarkan kepala melalui sunroof (bumbung tembus cahaya) sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) mengundang padah selepas kejadian itu tular di media sosial.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, pihaknya telah mengesan kejadian terbabit menerusi aplikasi Threads dipercayai berlaku di Lebuhraya Grand Saga Cheras berhampiran Kampung Batu 10, Cheras.

“Polis telah menerima laporan berhubung kejadian itu pada pukul 5.28 petang tadi sebelum siasatan dijalankan. Suspek merupakan wanita tempatan berusia 30 tahun telah hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang untuk tindakan lanjut berhubung perkara berkenaan.

“Wanita itu merupakan ibu kepada dua kanak-kanak perempuan berusia empat dan enam tahun itu bagaimanapun dibebaskan dengan jaminan polis selepas keterangannya direkodkan,” katanya dalam kenyataan semalam.

Kes disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 kerana mengabaikan kanak-kanak serta Seksyen 336 Kanun Keseksaan kerana melakukan perbuatan cuai sehingga membahayakan nyawa.

Naazron turut menasihati orang ramai supaya sentiasa mematuhi undang-undang jalan raya dan mengutamakan keselamatan kanak-kanak serta pengguna jalan raya lain. – MalaysiaGazette

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast