KUALA LUMPUR – Akademi Tahfiz Darul Abrar (ATDA) dijadikan pelopor bagi ‘GreenSeed Urban Huffaz‘, satu inisiatif komuniti yang menggabungkan pendidikan tahfiz, kelestarian alam sekitar, dan pembangunan komuniti.
Pendekatan ini diperkenalkan sebagai usaha memakmurkan institusi tahfiz di ibu negara agar mampu menjana pendapatan sendiri.
Terletak di kawasan strategik, seramai 11 pelajar maahad berkenaan kini mula mengusahakan tapak tanah seluas kira-kira suku hektar yang terletak di bahagian belakang surau.
Pelancaran program bertemakan “Quran • Community • Sustainability” itu disempurnakan oleh Toh Puan Raghad Kurdi Taib sempena Program Gotong-Royong Membina Generasi Al-Quran di akademi berkenaan, hari ini.

Pengerusi Yayasan Ehsan Seputeh, Lilla Ruzaini Hussain berkata, program itu dirangka sebagai projek rintis bagi mengubah stigma masyarakat terhadap institusi tahfiz tradisional, sekali gus melahirkan ‘Tahfiz Urban’ yang mandiri.
“Kita mahu pelajar ini mesra dengan alam semula jadi, dan jika program ini berjaya, konsep ini akan kita replikasikan ke tahfiz-tahfiz yang lain,” katanya.
Lilla Ruzaini menjelaskan, lokasi ATDA yang terletak di kawasan premium di tengah-tengah ibu kota akan dimanfaatkan sepenuhnya menerusi kaedah pertanian moden seperti hidroponik mahupun konvensional untuk menjana pendapatan sendiri.
“Tahfiz ATDA ini berada di tengah-tengah kawasan premium di Kuala Lumpur dengan ruang yang terhad. Namun, kita mahu tunjukkan ruang terhad ini boleh dibangunkan dengan tanaman yang mampu menjana pendapatan.
“Mungkin tahfiz di luar bandar yang mempunyai tanah berhektar-hektar boleh mengusahakan penternakan haiwan, tetapi di sini, kita gunakan kaedah hidroponik dan tanaman konvensional,” jelas beliau.
Tambah beliau, konsep ‘Tahfiz Urban’ ini juga akan memecahkan stereotaip institusi pondok atau madrasah lama dengan menyuntik elemen moden, termasuk penyediaan kemudahan sukan popular seperti pickleball untuk menarik minat komuniti setempat.
Sebagai permulaan, Program Gotong-Royong Membina Generasi Al-Quran telah dijalankan dengan menghimpunkan sukarelawan daripada pelbagai lapisan masyarakat untuk membersihkan dan menceriakan kawasan akademi bagi menyediakan persekitaran pembelajaran yang lebih kondusif dan selamat. – MalaysiaGazette
















