Rafizi Ramli

JOHOR BAHRU – Kerajaan Negeri Johor perlu memberi penjelasan mengenai kelewatan proses pemberian hak milik kepada penghuni Program Perumahan Rakyat (PPR) Kempas Permai hampir dua dekad lalu.

Pemimpin Parti Bersama Malaysia (PBM), Datuk Seri Rafizi Ramli berkata, tujuan asal pembinaan PPR adalah menyediakan kediaman tetap kepada golongan berpendapatan rendah dan bukannya menjadikan mereka penyewa sepanjang hayat.

Menurutnya, selepas rumah siap dibina menggunakan peruntukan Kerajaan Persekutuan di atas tanah yang disediakan kerajaan negeri, tanggungjawab menguruskan pemilikan sepatutnya diselesaikan oleh kerajaan negeri.

“Lebih 10,000 penduduk di tujuh blok PPR Kempas Permai masih menunggu kepastian mengenai hak milik walaupun sebahagian daripada mereka telah menetap hampir 20 tahun,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette, di sini, hari ini.

Presiden Bersama, Datuk Seri Rafizi Ramli mengiringi calon Bersama N.47 Kempas, Salamahafifi Mohd Yusnaieny (kiri) mendengar keluhan penduduk sempena kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16 di PPR Kempas Baru Permai, Johor Bahru. Foto FAREEZ FADZIL, 05 JULAI 2026.

Terdahulu bekas Menteri Ekonomi itu menghadiri Program Dialog Komuniti di PPR Kempas Permai, Kempas hampir sejam bagi mendengar permasalahan rakyat termasuk isu hak milik perumahan, pengurusan sampah, parkir dan kerosakan struktur bangunan.

Rafizi turut mengkritik amalan birokrasi yang menyebabkan penghuni warga emas terus dibebankan dengan urusan permohonan semula dan kebimbangan kehilangan tempat tinggal apabila berlaku kematian pasangan.

“Saya akan menghantar surat rasmi kepada Menteri Besar Johor baharu selepas Pilihan Raya Negeri bagi mendapatkan penjelasan mengenai sebab sebenar proses pemberian hak milik masih belum dimulakan,” katanya.

Beliau juga melahirkan rasa kesal kerana isu perumahan rakyat sering berlarutan kerana kerajaan negeri dan Kerajaan Persekutuan saling menyalahkan antara satu sama lain tanpa penyelesaian yang jelas.

“Kerajaan negeri lazimnya menyediakan tanah bagi pembinaan PPR manakala Kerajaan Persekutuan menyediakan peruntukan pembinaan sebelum projek diserahkan semula kepada kerajaan negeri,” katanya.

Menurutnya, kegagalan menyelesaikan proses pemberian hak milik menunjukkan wujud kelemahan pentadbiran dan birokrasi yang akhirnya membebankan rakyat.

“Keadaan itu bukan hanya berlaku di Johor malah dipercayai turut berlaku di beberapa negeri lain.

“Kerajaan negeri sepatutnya tidak terus berperanan sebagai pengutip sewa, sebaliknya mempercepatkan proses pemilikan supaya penduduk dapat menguruskan kediaman mereka sendiri melalui badan pengurusan yang sah,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast