SEGAMAT – Kerajaan sedang mengenal pasti tanah milik pelbagai agensi kerajaan yang mempunyai keluasan mencukupi untuk dibangunkan sebagai projek perumahan mampu milik bagi penjawat awam.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata pendekatan itu diambil bagi memanfaatkan aset kerajaan yang tidak digunakan secara optimum, sekali gus menangani masalah kekurangan kuarters dan beban kos sewa yang dihadapi penjawat awam.
Mengulas lanjut katanya tanah milik agensi seperti kastam, sekolah dan jabatan kerajaan yang mempunyai lebihan kawasan akan diteliti sebelum dibangunkan.
“Rumah kerajan tak buat baru, yang dah lama pun buruk. Saya pegi berapa tempat Tampoi, Skudai rumah teruk.
“Ini negeri Johor. Patut buat jangan semua suruh kita buat, Saya bincang sama kerajaan perskeutuan putajaya kita mesti fikir, apa kita buat.
“Kalau tanah tak ada, kita cari tanah Kerajaan, tanah kastam, tanah sekolah, kalau ada lebihan kita ambil untuk bina rumah kos rendah. Sekurang-kurangnya untuk polis, tentera dan penjawat awam,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika bewrucap pada Program Ramah Mesra bersama PMX di DUN Pemanis di Kampung Jawa.
Hadir sama Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amiruddin Shaari dan Pengerusi PKR Johor, Datuk Seri Zaliha Mustafa.

Anwar turut mengakui banyak kuarters kerajaan di beberapa negeri, termasuk Johor, berada dalam keadaan uzur dan memerlukan perhatian segera.
Jelas Anwar kerajaan tidak lagi boleh bergantung kepada kuarters lama semata-mata, sebaliknya perlu memanfaatkan tanah milik kerajaan bagi membina lebih banyak kediaman dengan kadar sewa rendah demi menjaga kebajikan penjawat awam.
Cadangan itu dilihat sebagai antara komitmen kerajaan dalam menangani isu kos sara hidup, selain memastikan anggota perkhidmatan awam mempunyai akses kepada kediaman yang selesa dan mampu milik.
Sebelum ini katanya kerajaan akan membangunkan perumahan bagi penjawat awam dengan kadar sewa lebih rendah sebagai usaha menjaga kebajikan golongan berkenaan.
Ia susulan mendapati penjawat awam menghadapi masalah serius berkaitan sewa rumah ketika melakukan lawatan ke beberapa negeri seperti Pulau Pinang, Perak, Johor dan Negeri Sembilan. – MalaysiaGazette
















