KUALA LUMPUR – Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (HASiL) memperkenalkan Program Khas Pengakuan Sukarela (PKPS) e-Invois yang berkuat kuasa serta-merta hingga 31 Disember 2027 bagi memberi peluang kepada pembayar cukai mengemas kini dan membetulkan pematuhan e-Invois tanpa dikenakan sebarang penalti.
Dalam kenyataan hari ini, LHDNM memaklumkan, pelaksanaan program itu selaras dengan pengumuman Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim, di Dewan Rakyat mengenai langkah tambahan bagi mengurangkan kos pematuhan cukai, khususnya melibatkan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).
Menurut kenyataan itu, PKPS e-Invois ditawarkan kepada tiga kategori pembayar cukai, iaitu mereka yang telah melaksanakan e-Invois mengikut garis masa ditetapkan tetapi tidak mengemukakan e-Invois sepenuhnya bagi transaksi tertentu.
Selain itu, program tersebut turut melibatkan pembayar cukai yang telah mengemukakan e-Invois tetapi terdapat kesilapan atau maklumat yang tidak mematuhi spesifikasi serta syarat ditetapkan, selain mereka yang langsung tidak mengemukakan e-Invois bagi mana-mana tempoh bermula dari tarikh pelaksanaan mandatori e-Invois.
“LHDNM menggalakkan pembayar cukai tampil secara sukarela untuk mengemas kini maklumat, membuat semakan serta pembetulan terhadap keperluan pengeluaran e-Invois tanpa dikenakan sebarang penalti.
“Bagaimanapun, pembayar cukai perlu memastikan pengakuan sukarela yang dibuat melalui pengemukaan e-Invois adalah tepat dan teratur mengikut Garis Panduan Umum serta Garis Panduan Spesifik e-Invois,” menurut kenyataan itu.
Menurutnya, inisiatif tersebut bertujuan menyokong aspirasi pendigitalan operasi perniagaan di samping meningkatkan tahap pematuhan pembayar cukai terhadap pelaksanaan e-Invois.
Dalam masa sama, kerajaan turut bersetuju mempercepat pemberian insentif cukai kepada pembayar cukai yang mematuhi sepenuhnya pelaksanaan e-Invois.
Menerusi langkah itu, tuntutan penuh elaun modal dibenarkan dalam tempoh satu tahun bagi perbelanjaan pemerolehan kelengkapan teknologi maklumat (ICT) serta kos pembangunan atau pengubahsuaian perisian komputer yang digunakan untuk pelaksanaan e-Invois.
Tambahnya, insentif berkenaan merupakan penghargaan dan galakan kepada pembayar cukai yang mematuhi sepenuhnya pelaksanaan sistem e-Invois, selain membantu mempercepat transformasi digital dalam kalangan perniagaan. – MalaysiaGazette
















