Timbalan Setiausaha Agung PKR, Dr. Sathia Prakash Nadarajan.

JOHOR BAHRU – Pakatan Harapan (PH) berhasrat memperkenalkan model perkhidmatan kesihatan primer percuma di Selangor ke Johor sekiranya diberi mandat mentadbir negeri selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Pengarah Pilihan Raya PKR Selangor, Dr. N. Sathia Prakash berkata, ia bagi memastikan rakyat khususnya golongan berpendapatan rendah mendapat akses kepada rawatan awal tanpa dibebani kos rawatan atau tempoh menunggu panjang di fasiliti kesihatan awam.

“Kesihatan merupakan antara komponen utama yang diberi penekanan dalam agenda PH kerana rawatan awal mampu mengelakkan komplikasi penyakit serta mengurangkan kos rawatan pada masa hadapan.

“Hari ini kita mengadakan program saringan kesihatan percuma di kawasan Tebrau sebagai sebahagian daripada usaha mendekati masyarakat dan pada masa sama menunjukkan komitmen kita terhadap isu kesihatan.

“Apa yang kita lakukan ini selari dengan manifesto PH yang memberi penekanan kepada aspek kesihatan.

“Di Malaysia, kita memerlukan akses kesihatan yang lebih mudah dan mampu dinikmati semua rakyat,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette selepas program saringan kesihatan percuma di Tebrau, di sini, semalam.

Beliau berkata, program kesihatan primer di bawah inisiatif kerajaan negeri Selangor membuktikan bantuan rawatan awal mampu memberi manfaat besar kepada golongan B40 yang sering menangguhkan pemeriksaan kerana faktor kewangan.

“Masih ramai rakyat memilih untuk tidak mendapatkan rawatan apabila mengalami simptom awal penyakit kerana tidak mahu menunggu lama di klinik kesihatan kerajaan atau tidak mampu menanggung kos rawatan di klinik swasta.

“Ramai yang rasa tidak selesa sedikit tetapi memilih untuk tidak mendapatkan rawatan. Mereka fikir mungkin hanya gastrik, sedangkan sebenarnya boleh jadi simptom awal penyakit jantung.

“Dengan pemeriksaan asas seperti elektrokardiogram (ECG) yang kosnya tidak sampai RM50, nyawa seseorang mungkin dapat diselamatkan jika penyakit dikesan lebih awal,” katanya.

Menurut beliau, sistem kesihatan negara tidak seharusnya hanya memberi tumpuan kepada rawatan apabila penyakit sudah berada pada tahap serius, sebaliknya perlu memperkukuh aspek pencegahan melalui perkhidmatan kesihatan primer yang mudah diakses.

“Pendekatan itu bukan sahaja memberi manfaat kepada pesakit, malah dapat mengurangkan kesesakan di hospital serta mengelakkan peningkatan kos rawatan yang terpaksa ditanggung kerajaan,” katanya.

Beliau menjelaskan, konsep kesihatan primer merangkumi pemeriksaan awal, rawatan penyakit ringan, saringan kesihatan berkala dan pemantauan penyakit kronik seperti diabetes, darah tinggi serta kolesterol.

“Kalau rawatan dapat diberikan lebih awal, banyak komplikasi boleh dielakkan. Ini juga mengurangkan tekanan terhadap hospital yang sepatutnya memberi tumpuan kepada kes-kes yang lebih serius.

“Sebab itu saya selalu tekankan bahawa kesihatan primer adalah pelaburan kepada masa depan rakyat dan negeri,” katanya.

Mengulas mengenai kemampuan Johor melaksanakan inisiatif sedemikian, Dr. Sathia berkata negeri itu mempunyai asas ekonomi yang kukuh untuk memperkenalkan skim kesihatan lebih menyeluruh.

“Kesihatan bukan satu perbelanjaan, tetapi pelaburan. Apabila rakyat sihat, produktiviti meningkat dan beban kos rawatan jangka panjang juga dapat dikurangkan.

“Atas sebab itu saya percaya Johor mampu melaksanakan sistem seperti ini jika diberi keutamaan dalam dasar kerajaan negeri,” katanya.

Jelasnya, usaha memperkukuh sistem kesihatan awam perlu dilakukan secara berterusan tanpa mengira fahaman politik kerana manfaatnya akan dinikmati oleh seluruh rakyat.

“Saya sentiasa percaya bahawa ‘health is wealth’. Tanpa kesihatan, perkara lain menjadi sukar untuk dicapai.

“Hasrat kita adalah memastikan rakyat mendapatkan rawatan seawal mungkin supaya penyakit dapat dicegah sebelum menjadi lebih serius,” katanya.

Dalam manifesto PRN Johor, PH antara lain memberi penekanan kepada usaha memperkukuh akses perkhidmatan kesihatan, meningkatkan kebajikan rakyat serta memperluaskan jaringan perlindungan sosial, khususnya kepada golongan yang memerlukan.

PRN Johor kali ini menyaksikan isu kos sara hidup, kemudahan kesihatan awam dan akses kepada perkhidmatan asas menjadi antara fokus utama yang dibangkitkan oleh parti-parti bertanding sepanjang tempoh kempen. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast