Steven Sim menghadiahkan sebuah komputer riba kepada anak bekas pemandunya yang kini melanjutkan pelajaran di USIM.

BUKIT MERTAJAM – Sebuah tablet yang diberikan ketika masih di bangku sekolah rendah menjadi simbol sokongan berterusan apabila Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), Steven Sim, sekali lagi tampil membantu anak bekas pemandunya yang kini melangkah ke alam universiti.

Steven yang juga Ahli Parlimen Bukit Mertajam berkata, beliau masih mengingati Ellyna, anak kepada Elias yang pernah menjadi individu paling rapat dengannya ketika beliau berkhidmat sebagai Timbalan Menteri Belia dan Sukan.

Menurutnya, Elias bukan sekadar pemandu yang menguruskan pergerakannya dari Putrajaya ke Pulau Pinang, malah dianggap sebagai seorang sahabat yang sentiasa setia membantu tanpa mengira masa.

“Tak kira siang atau malam, Abang Elias sentiasa tunggu saya di lapangan terbang dan bawa saya ke sana sini. Walaupun saya sudah lama tidak berada di KBS, hubungan kami tidak pernah terputus,” katanya.

Steven berkata, hubungan yang terjalin itu turut membuatkan beliau mengikuti perkembangan keluarga Elias termasuk perjalanan pendidikan anaknya, Ellyna.

Katanya, beliau masih mengingati ketika menghadiahkan sebuah tablet kepada Ellyna yang ketika itu berada di darjah enam sewaktu negara dilanda pandemik COVID-19 bagi membantu pembelajaran.

“Kini, usaha dan kesungguhan Ellyna membuahkan hasil apabila dia berjaya memperoleh keputusan 9A dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) sebelum melanjutkan pengajian di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dalam program Tamhidi Syariah dan Undang-Undang, dengan impian bergelar peguam syarie.

“Apabila Elias menghubungi saya untuk meminta bantuan menyediakan sebuah komputer riba bagi kegunaan Ellyna di universiti, saya mengambil peluang membuat kejutan dengan menyerahkan sendiri laptop berkenaan ketika hari pendaftaran masuk USIM.

“Peluang bertemu semula dengan Elias dan keluarganya memberi kegembiraan tersendiri selain menyaksikan sendiri kejayaan yang dicapai hasil usaha keras ibu bapa membesarkan anak dan inilah cara anak-anak membalas budi kedua-dua orang tua,” katanya.

Dalam pertemuan itu, Steven turut meminta izin daripada Elias untuk mengambil Ellyna sebagai anak angkatnya bagi membantu menjaga kebajikan gadis berkenaan sepanjang tempoh pengajian.

“Semoga komputer riba ini memudahkan segala urusan belajar, menguatkan semangat untuk Ellyna terus melangkah jauh dan menjadi kebanggaan keluarga serta masyarakat,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast