Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim.

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Shahidan Kassim (PN-Arau) mendakwa wujud amalan dua darjat dalam pentadbiran kerajaan apabila ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang tidak menikmati layanan sama rata khususnya membabitkan isu peruntukan di kawasan masing-masing.

Beliau berkata, perkara itu perlu dibawa kepada Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) untuk disiasat kerana mendakwa ketiadaan peruntukan kepada ahli Parlimen pembangkang menjejaskan keupayaan mereka menjalankan tanggungjawab kepada rakyat.

Menurut Shahidan, semua ahli Parlimen dipilih melalui proses demokrasi yang sama namun layanan berbeza diberikan berdasarkan kedudukan politik.

“Saya nak mengadu kepada SUHAKAM bahawa ahli Parlimen Malaysia ini ada dua kelas. Ada kelas kerajaan dan kelas bukan kerajaan.

“Ahli Parlimen pembangkang tidak ada peruntukan tetapi kami masih perlu berkhidmat kepada rakyat. Kami terpaksa mencari jalan sendiri untuk meneruskan tanggungjawab,” katanya ketika membahaskan Laporan Tahunan dan Penyata Kewangan SUHAKAM bagi Tahun 2024 di Dewan Rakyat hari ini.

Shahidan berkata, isu itu bukan semata-mata berkaitan kewangan sebaliknya membabitkan prinsip keadilan dan hak sama rata bagi setiap wakil rakyat yang dipilih oleh rakyat.

Beliau mempersoalkan bagaimana kerajaan yang membawa agenda reformasi serta memperjuangkan kesaksamaan masih membiarkan keadaan itu berlaku.

“Kerajaan sekarang bercakap mengenai hak sama rata dan sama rasa tetapi apabila memerintah, hanya satu pihak yang merasa manakala pihak lain tidak merasainya.

“Inilah perkara yang saya anggap tidak adil dan SUHAKAM perlu melihat perkara ini,” tegasnya.

Beliau berkata, SUHAKAM boleh menjalankan kajian di Parlimen serta mengemukakan syor kepada kerajaan supaya satu mekanisme peruntukan yang adil dapat diwujudkan tanpa mengira sama ada seseorang ahli Parlimen berada di pihak kerajaan atau pembangkang.

Shahidan turut mengingatkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini ketika berada di blok pembangkang sering membawa perjuangan menegakkan keadilan serta menolak kezaliman.

“Dahulu ketika menjadi pembangkang, Perdana Menteri berjanji akan menghapuskan kezaliman dan menegakkan keadilan. Jadi apabila sudah menjadi kerajaan, perkara itu perlu diterjemahkan dalam tindakan,” katanya.

Beliau berkata, isu peruntukan kepada ahli Parlimen pembangkang perlu dilihat secara serius kerana ia berkait rapat dengan kemampuan wakil rakyat melaksanakan amanah kepada pengundi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast