Ahli Parlimen Raub, Chow Yu Hui dan Ahli Parlimen Maran, Datuk Seri Dr Ismail Abd. Muttalib di Dewan Rakyat, hari ini.
Ahli Parlimen Raub, Chow Yu Hui dan Ahli Parlimen Maran, Datuk Seri Dr Ismail Abd. Muttalib di Dewan Rakyat, hari ini.

KUALA LUMPUR – Isu perolehan kebun durian Musang King di Raub, Pahang mencetuskan perdebatan di Dewan Rakyat apabila Chow Yu Hui (PH-Raub) meminta Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) meneliti aspek hak mata pencarian pekebun yang terkesan susulan pertikaian tanah dan pengurusan hasil tanaman itu.

Beliau berkata, ramai pekebun durian telah mengusahakan kebun mereka selama puluhan tahun dengan menggunakan tenaga serta modal sendiri sebelum menikmati hasil tanaman yang diusahakan.

Menurutnya, pekebun mendakwa keadaan berubah selepas Kerajaan Negeri Pahang memberikan hak kutipan hasil kepada sebuah syarikat swasta sehingga menyebabkan mereka kehilangan kawalan terhadap hasil tanaman yang diusahakan sekian lama.

“Apa yang dikesalkan ialah petani mendakwa mereka bukan sahaja tidak diberikan ruang rundingan yang bermakna malah hasil tanaman yang diusahakan selama puluhan tahun terus diambil alih tanpa pampasan sehingga menjejaskan mata pencarian mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membahaskan Laporan Tahunan dan Penyata Kewangan SUHAKAM bagi Tahun 2024 (Kertas Statut 102 Tahun 2026) di Dewan Rakyat hari ini.

Yu Hui berkata, isu berkenaan perlu dilihat daripada sudut hak asasi manusia khususnya berkaitan pelaksanaan kuasa pentadbiran yang memberi kesan langsung terhadap kehidupan rakyat.

Katanya, persoalan utama ialah sama ada pekebun diberikan peluang yang adil untuk didengar, proses rundingan dilakukan secara bermakna serta tindakan yang diambil memenuhi prinsip keadilan prosedur dan keseimbangan.

“Apabila sesuatu tindakan menyebabkan seseorang kehilangan sumber rezeki yang dibina selama puluh-puluh tahun, adakah proses tersebut benar-benar menghormati prinsip keadilan?

“Adakah mereka diberikan peluang yang adil untuk didengar? Adakah proses konsultasi dijalankan secara bermakna?” soalnya.

Bagaimanapun, perbahasan itu kemudian mencetuskan pertikaman lidah apabila Datuk Seri Dr Ismail Abd. Muttalib (PN-Maran) mencelah dengan membangkitkan isu status tanah berkenaan yang didakwa melibatkan pencerobohan tanah kerajaan.

Ahli Parlimen Maran mempersoalkan sama ada tindakan mempertahankan pekebun berkenaan bermaksud mempertahankan aktiviti penerokaan tanah secara tidak sah.

“Tentang tanah di Raub, ini sebenarnya apa yang dibuat tindakan oleh kerajaan ini ialah melibatkan tanah-tanah haram. Itu sahaja,” katanya ketika membuat celahan di Dewan Rakyat.

Yu Hui kemudian menegaskan, pendiriannya adalah untuk mempertahankan hak pekebun yang bergantung kepada hasil tanaman bukan mempertahankan sebarang tindakan melanggar undang-undang.

“Apa yang saya bangkitkan adalah usaha untuk mempertahankan pekebun, hasil-hasil mereka dan usaha yang dilakukan selama ini.

“Sekarang hasil ini diambil alih oleh satu syarikat. Adakah Yang Berhormat Maran mempertahankan syarikat swasta dan bukan rakyat?” soalnya.

Perdebatan antara kedua-dua ahli Parlimen itu bagaimanapun dileraikan Timbalan Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Datuk Dr Ramli Mohd Nor yang meminta kedua-dua pihak menghentikan perbalahan dan membenarkan Yu Hui meneruskan perbahasan.

Dalam pada itu, Yu Hui mencadangkan supaya SUHAKAM memperluaskan kajian berkaitan hak kepada mata pencarian khususnya dalam kes pertikaian tanah yang melibatkan rakyat yang telah lama bergantung kepada sektor pertanian.

Beliau berkata, SUHAKAM juga wajar mengadakan sesi libat urus bersama semua pihak berkepentingan bagi menilai sama ada pelaksanaan kuasa pentadbiran dalam kes seperti itu mematuhi prinsip hak asasi manusia.

Hasil kajian tersebut boleh dijadikan asas untuk SUHAKAM mengemukakan syor penambahbaikan kepada kerajaan, katanya.

Tahun lalu, Yu Hui ditahan ditahan polis kerana menghalang penjawat awam daripada menjalankan tugas semasa Op Sekat yang bertujuan membanteras pencerobohan tanah membabitkan kumpulan pekebun durian Musang King di kawasan tersebut. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast