Dong Zong.

KUALA LUMPUR – Dong Jiao Zong menggesa semua calon yang bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan Negeri Sembilan menyatakan pendirian secara jelas terhadap usaha mengekalkan serta membangunkan sistem pendidikan bahasa ibunda dan sekolah pelbagai aliran.

Pertubuhan itu berkata, kedua-dua PRN yang berlangsung secara berturutan pada Julai dan Ogos merupakan medan penting untuk rakyat menilai komitmen parti politik terhadap dasar pendidikan negara.

Menurutnya, calon dan gabungan parti politik perlu mengemukakan pendirian yang telus berhubung jaminan hak pendidikan bahasa ibunda bagi semua kaum serta pembangunan sekolah pelbagai aliran.

“Hanya calon yang memberikan komitmen konkrit dan menyatakan pendirian yang jelas terhadap pendidikan pelbagai aliran wajar menerima mandat serta sokongan daripada pengundi,” katanya.

Dong Jiao Zong turut menggesa semua calon mengadakan debat dasar secara terbuka bagi membolehkan pengundi menilai falsafah pentadbiran serta pendirian mereka terhadap isu pendidikan.

Katanya, pengagihan sumber pendidikan negara dan layanan terhadap sekolah pelbagai aliran perlu berasaskan prinsip kepelbagaian, kesaksamaan dan keterangkuman bagi memastikan setiap pelajar menikmati hak pendidikan yang adil.

Dalam pada itu, pertubuhan berkenaan menyeru pengundi di Johor dan Negeri Sembilan supaya menunaikan tanggungjawab sebagai warganegara dengan keluar mengundi pada hari pengundian.

Menurutnya, rasa kecewa terhadap perkembangan politik semasa tidak seharusnya dijadikan alasan untuk memulaukan pilihan raya kerana tindakan itu hanya akan menguntungkan pihak yang mengabaikan kepentingan pendidikan pelbagai aliran.

“Mengundi adalah hak dan tanggungjawab setiap warganegara. Setiap undi tidak harus disia-siakan, sebaliknya digunakan untuk mempertahankan pendidikan.

“Kehangatan pilihan raya pasti akan berakhir dengan kemenangan atau kekalahan, namun akar tunjang sebuah masyarakat majmuk tidak boleh digoyahkan oleh perang politik yang pasang surut.

“Semua calon adalah diingatkan agar mengetepikan kepentingan peribadi dan menjulang manfaat kepada rakyat melalui dasar serta prestasi, dan bukannya meraih sokongan melalui mobilisasi berasaskan kaum,” ujarnya.

Dalam kenyataan sama, Dong Zong juga menyeru para pengundi agar mengundi dengan penuh rasional dan tanggungjawab, mempertahankan sistem perlembagaan sekular negara, serta bersama-sama merealisasikan pembangunan masyarakat pelbagai budaya,” ujarnya.

Dong Jiao Zong turut mengingatkan semua calon supaya mengetepikan kepentingan politik sempit dan memberi tumpuan kepada dasar serta prestasi demi kepentingan rakyat. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast