KUALA LUMPUR – Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) memandang serius terhadap tindakan menyiarkan, berkongsi atau menyebarkan gambar, video dan maklumat yang boleh mendedahkan identiti kanak-kanak melalui media sosial atau mana-mana platform komunikasi digital.
JKM dalam kenyataan berkata, ia termasuk dalam insiden yang tular membabitkan murid di sebuah sekolah baru-baru ini dan perbuatan mendedahkan identiti kanak-kanak adalah bertentangan di bawah Seksyen 15 Akta Kanak-Kanak 2001 (Akta 611).
“Undang undang itu melarang penerbitan atau penyiaran apa-apa gambar, nama, alamat, institusi pendidikan atau butiran yang boleh meyebabkan seseorang kanak-kanak dikenal pasti dalam prosiding atau kes membabitkan mereka.
“Mana-mana pihak yang disabitkan melakukan kesalahan di bawah peruntukan itu boleh dikenakan denda tidak melebihi RM10,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tegas JKM, orang awam khususnya pengguna media sosial dan pengamal media diingatkan agar tidak menyiarkan, berkongsi atau menyebarkan sebarang maklumat yang boleh membawa kepada pengecaman identiti mana-mana kanak-kanak yang terbabit dalam sesuatu kes.
Ini termasuk sama ada kanak-kanak itu adalah mangsa, saksi atau kanak-kanak yang terbabit atau disyaki terlibat dalam apa-apa perbuatan jenayah.
“Pendedahan identiti kanak-kanak bukan sahaja melanggar undang-undang, malah boleh menjejaskan keselamatan, kesejahteraan emosi, maruah dan proses pemulihan mereka selain memberi kesan berpanjangan terhadap kehidupan dan perkembangan mereka,” jelasnya.
Sehubungan itu, JKM menyeru semua pihak agar menghentikan penyebaran kandungan yang boleh mendedahkan identiti dan menghormati hak privasi kanak-kanak dengan mengamalkan penggunaan media sosial secara beretika serta bertanggungjawab.
Langkah ini juga bagi memberi ruang kepada pihak berkuasa menjalankan siasatan dengan sewajarnya mengikut peruntukan undang-undang dan JKM kekal komited dalam memastikan setiap kanak-kanak di negara ini mendapat perlindungan sewajarnya selaras dengan prinsip kepentingan terbaik golongan itu,” ujarnya.
Kelmarin, media melaporkan, seorang pelajar perempuan berusia 15 cedera akibat ditikam di beberapa bahagian belakang badan, bahu dan muka di sebuah sekolah di Kuala Langat, Selangor.
Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Mohd Akmalrizal Radzi dilaporkan berkata, mangsa kemudian dikejarkan ke Hospital Banting untuk rawatan lanjut.
Susulan itu, beliau berkata, suspek berumur 15 tahun itu juga telah ditahan reman selama empat hari sehingga 10 Julai ini bagi siasatan mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan. – MalaysiaGazette
















