Calon PH N.47 Kempas, Faezuddin Puad ketika melakukan tinjauan ke Klinik Kesihatan Kempas di Johor Bahru. Foto SADIQ SANI, 08 JULAI 2026.

JOHOR BAHRU – Isu kesesakan di Klinik Kesihatan Kempas semakin menjadi perhatian apabila kemudahan kesihatan yang menjadi tumpuan lebih 100,000 penduduk di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kempas didakwa tidak lagi mampu menampung peningkatan jumlah pesakit.

Keadaan itu bukan sahaja menyebabkan kesukaran mendapatkan parkir, malah tempoh menunggu yang panjang sehingga dua hingga tiga jam bagi mendapatkan rawatan turut menjadi keluhan utama penduduk.

Calon Pakatan Harapan (PH) bagi kerusi N.47 Kempas, Muhammad Faezuddin Mohd Puad, berkata isu tersebut merupakan antara aduan paling kerap diterima sepanjang tempoh berkempen dan sesi turun padang bersama penduduk.

Beliau berkata, lawatan ke Klinik Kesihatan Kempas dilakukan bagi mendapatkan gambaran sebenar berhubung keadaan kemudahan kesihatan di kawasan itu serta mendengar sendiri pandangan pesakit.

“Sepanjang program turun padang dan walkabout yang telah memasuki hari ke-12, antara permintaan utama penduduk ialah supaya kemudahan kesihatan di Kempas ditambah baik.

“Kebanyakan pesakit yang ditemui berharap sebuah klinik kesihatan baharu dapat dibina kerana kemudahan sedia ada sudah tidak lagi mampu menampung keperluan semasa,” katanya kepada MalaysiaGazette yang ditemui selepas melakukan lawatan ke Klinik Kesihatan Kempas di sini semalam.

Calon PH N.47 Kempas, Faezuddin Puad berjumpa dengan penduduk ketika melakukan tinjauan ke Klinik Kesihatan Kempas di Johor Bahru. Foto SADIQ SANI, 08 JULAI 2026.

Faezuddin berkata, walaupun klinik tersebut masih berada dalam keadaan baik dan beberapa kerja penambahbaikan telah dilaksanakan, langkah berkenaan hanya bersifat sementara.

“Untuk jangka panjang, kita melihat pembinaan sebuah klinik kesihatan baharu adalah penyelesaian yang lebih sesuai memandangkan jumlah penduduk di Kempas terus bertambah,” katanya.

Hasil tinjauan MalaysiaGazette mendapati antara masalah utama yang dihadapi pesakit ialah kesesakan parkir terutama pada waktu puncak, selain tempoh menunggu yang panjang bagi mendapatkan rawatan.

Menurut Faezuddin, ada pesakit memaklumkan mereka perlu menunggu sehingga dua atau tiga jam sebelum dipanggil mendapatkan rawatan.

Beliau berkata, keadaan itu menjadi petunjuk jelas bahawa kapasiti klinik berkenaan sudah mencapai had maksimum.

“Kawasan parkir sentiasa penuh pada waktu puncak. Ini menunjukkan jumlah pesakit yang datang mendapatkan rawatan semakin meningkat, sedangkan kemudahan yang ada tidak banyak berubah,” katanya.

Beliau turut memaklumkan Klinik Kesihatan Kempas bukan sahaja menerima pesakit dari kawasan DUN Kempas, malah turut menjadi pilihan penduduk dari kawasan berhampiran.

Situasi itu, katanya, menyebabkan beban terhadap kemudahan sedia ada menjadi lebih tinggi.

“Apabila penduduk Kempas sendiri semakin ramai dan pada masa sama pesakit dari luar turut mendapatkan rawatan di sini, sudah tentu kapasiti klinik ini menjadi semakin terhad,” katanya.

Calon PH N.47 Kempas, Faezuddin Puad ketika melakukan tinjauan ke Klinik Kesihatan Kempas di Johor Bahru. Foto SADIQ SANI, 08 JULAI 2026.

Menurut Faezuddin, dengan jumlah penduduk DUN Kempas yang kini melebihi 100,000 orang, sebuah klinik kesihatan yang lebih besar dan moden perlu dirancang bagi memenuhi permintaan pada masa depan.

Dalam pada itu, Faezuddin berkata, selain pembinaan klinik baharu sebagai penyelesaian jangka panjang, PH turut menawarkan beberapa inisiatif kesihatan bagi mengurangkan beban rakyat.

Katanya, antara cadangan tersebut ialah menghidupkan semula skim Kad Sihat Johor yang membolehkan rakyat mendapatkan rawatan di klinik panel

“Langkah itu mampu membantu mengurangkan kesesakan di klinik kerajaan sementara menunggu projek pembinaan kemudahan kesihatan baharu direalisasikan,” jelasnya.

Selain itu, beliau berkata manifesto PH turut menawarkan bantuan perubatan sehingga RM100,000 kepada golongan yang layak.

Faezuddin berkata, penduduk Kempas ketika ini bergantung kepada Hospital Sultanah Aminah (HSA) dan Hospital Sultan Ismail (HSI) bagi mendapatkan rawatan pakar atau kes-kes kritikal.

“Kedua-dua hospital tersebut juga berdepan tekanan kapasiti akibat jumlah pesakit yang tinggi,” katanya.

Beliau berharap sekiranya sebuah klinik baharu dibina pada masa hadapan, kemudahan itu bukan sahaja menyediakan rawatan asas, malah mampu menawarkan lebih banyak perkhidmatan kesihatan termasuk rawatan tertentu yang ketika ini memerlukan rujukan ke hospital.

Mengulas mengenai akses kepada kemudahan kesihatan, Faezuddin berkata penduduk Kempas terdiri daripada pelbagai latar belakang sosioekonomi, termasuk golongan B40 dan M40, yang sama-sama bergantung kepada perkhidmatan kesihatan awam.

Jelasnya, pendekatan yang dibawa melalui manifesto PH adalah memastikan semua lapisan masyarakat mendapat akses kepada kemudahan kesihatan yang berkualiti tanpa mengira latar belakang.

“Kita mahu memastikan tiada golongan yang tercicir daripada menerima kemudahan dan bantuan kesihatan. Sebab itu tema manifesto yang kita bawa ialah ‘Johor Untuk Semua’,” katanya.

Beliau menegaskan isu kesihatan tidak seharusnya dilihat sebagai isu bermusim ketika pilihan raya.

“Sebaliknya ia memerlukan perancangan jangka panjang selaras dengan pertumbuhan pesat kawasan Kempas yang terus berkembang sebagai antara penempatan utama di Johor Bahru,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast