Steven Sim bertemu dengan Yogi B di studio rakamannya semalam.

GEORGE TOWN – Penyanyi rap terkenal, Yogi B menjadi antara penggiat seni yang menerima manfaat Skim Pembiayaan Usahawan India Malaysia (SPUMI) di bawah TEKUN Nasional apabila permohonannya diluluskan dalam tempoh lima hari.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Steven Sim Chee Keong berkata, Yogeswaran yang lebih dikenali sebagai Yogi B mengemukakan permohonan pada 26 Jun sebelum diluluskan pada 1 Julai lalu mengikut proses yang ditetapkan.

Menurutnya, kelulusan itu membuktikan usahawan yang memenuhi syarat boleh memperoleh pembiayaan tanpa memerlukan sokongan mana-mana individu berkepentingan atau saluran istimewa.

Inilah pendekatan KUSKOP dalam membantu usahawan yang layak tanpa mengira bidang diceburi, termasuk peniaga kecil, pengusaha makanan, koperasi, golongan muda, wanita dan anak seni.

“Tak perlu kenal orang politik mahupun cari jalan belakang cukup sekadar memohon ikut proses, kita permudahkan,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Tambah Steven Sim, kerajaan menerusi KUSKOP membuka peluang pembiayaan kepada semua usahawan yang layak termasuk penggiat industri kreatif.

Jelasnya, golongan artis juga merupakan usahawan kerana turut menguruskan aspek penerbitan karya, hak cipta, operasi perniagaan dan tenaga kerja.

“Yogi B bukan sahaja aktif sebagai penyanyi, malah mengusahakan studio rakaman, syarikat rakaman dan sedang merancang menghasilkan album baharu.

“Malah beliau antara anak Malaysia yang berjaya membawa identiti negara ke pentas antarabangsa menerusi karya muziknya.

“Saya doakan projek baru Yogi B berjalan lancar sekali gus membawa nama Malaysia ke persada dunia,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast