DARIPADA 20 kerusi yang ditandingi Parti Keadilan Rakyat (PKR) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor kali ini sekurang-kurangnya lima kerusi dilihat mempunyai potensi mencipta kejutan dan menyumbang kepada peningkatan jumlah kerusi parti itu meskipun persaingan dijangka berlangsung sengit sehingga saat akhir.
Lima kerusi berkenaan ialah N14 Bukit Naning, N16 Sungai Balang, N32 Endau, N47 Kempas dan N51 Bukit Batu, yang masing-masing memperlihatkan momentum kempen serta penerimaan calon memberangsangkan sepanjang tempoh berkempen.
Bagaimanapun, laluan PKR bukanlah mudah. Walaupun jentera Kerajaan Persekutuan, pimpinan pusat serta kekuatan kempen digerakkan secara besar-besaran di Johor, parti itu masih berdepan cabaran menembusi sebahagian pengundi Melayu, khususnya di kawasan separa bandar dan luar bandar.
Tinjauan MalaysiaGazette di lapangan juga mendapati isu kos sara hidup, peluang pekerjaan, kemudahan asas serta pembangunan setempat kekal menjadi keutamaan pengundi.
Pada masa sama, sentimen terhadap rakan gabungan dalam Pakatan Harapan (PH), khususnya DAP, masih menjadi antara faktor yang mempengaruhi sebahagian pengundi Melayu di beberapa kawasan.
Bagi sebahagian pengundi, kempen pilihan raya seharusnya lebih tertumpu kepada penyelesaian masalah rakyat berbanding terus mengungkit isu-isu politik yang telah lama berlalu.
Dalam keadaan itu, PKR juga dilihat tidak boleh terlalu bergantung kepada kehadiran Presidennya, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk meraih sokongan sebaliknya, kekuatan jentera akar umbi, pendekatan calon serta hubungan rapat dengan masyarakat setempat dijangka menjadi faktor utama yang menentukan keputusan di banyak kerusi marginal.
Daripada lima kerusi tersebut, Bukit Batu dilihat sebagai antara pertembungan paling sengit. Penyandangnya, Arthur Chiong Sen Sern, masih mempunyai kelebihan hasil rekod perkhidmatan yang konsisten sejak memenangi kerusi itu pada PRN lalu.
Beliau dikenali sebagai wakil rakyat yang rajin turun padang dan dekat dengan masyarakat, sekali gus menjadikan Bukit Batu antara kerusi yang berpotensi kekal dalam genggaman PKR.
Di Sungai Balang, calon muda PKR, Ayna Soraya Badaruddin atau lebih dikenali sebagai ‘Akak Kapal’ , semakin mencuri perhatian menerusi pendekatan kempen yang santai dan mudah didekati. Keupayaannya berinteraksi dengan masyarakat pelbagai lapisan, terutama pengundi muda, dilihat memberi kelebihan tersendiri kepada PKR dalam usaha merampas kerusi tersebut.
Bagi Endau, walaupun sering dianggap antara kawasan yang cenderung kepada Barisan Nasional, kempen Ts. Saiful Nizam Samat dilihat sedikit demi sedikit berjaya mengubah persepsi sebahagian pengundi.
Status beliau sebagai anak tempatan generasi ketiga Endau, selain pendekatan sederhana dan dekat dengan masyarakat, menjadikan kerusi itu antara yang berpotensi mencipta keputusan di luar jangkaan sekiranya berlaku perubahan pola pengundian pada saat akhir.
Bukit Naning pula terus menjadi antara kerusi yang berpotensi menyaksikan saingan paling sengit. Bekas ADUN dan EXCO Johor, Md Ysahrudin Kusni masih mempunyai pengaruh tersendiri selepas terus aktif bersama masyarakat walaupun tewas pada pilihan raya lalu.
Hubungan rapat yang dibina sejak sekian lama menjadikan beliau antara aset terbesar PKR di kerusi berkenaan.
Selain faktor calon, Bukit Naning juga dilihat antara kerusi yang boleh berubah sekiranya PKR berjaya menarik sokongan pengundi atas pagar serta meningkatkan peratusan keluar mengundi pada saat-saat akhir.
Kempas pula semakin mencuri perhatian apabila kempen calon PKR, Muhammad Faezuddin Mohd Puad dilihat semakin mendapat sambutan terutama dalam kalangan pengundi muda dan penduduk di kawasan perumahan.
Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Johor itu banyak menumpukan kempen dari rumah ke rumah selain mengangkat isu peluang pekerjaan, pendidikan, kos sara hidup dan kemudahan awam yang dekat dengan kehidupan rakyat.
Lebih menarik, Kempas berada dalam Parlimen Johor Bahru yang dimenangi Pakatan Harapan pada Pilihan Raya Umum ke-15 sekaligus memberi harapan bahawa sokongan di peringkat Parlimen mampu diterjemahkan kepada kemenangan di peringkat DUN sekiranya PKR berjaya menggerakkan penyokong keluar mengundi.
Pada PRN Johor 2022, PKR bertanding di 20 kerusi menggunakan logonya sendiri, namun hanya berjaya memenangi satu kerusi iaitu Bukit Batu.
Keputusan itu menjadikan PRN kali ini sebagai medan penting buat parti berkenaan untuk membuktikan ia masih mampu memperluaskan pengaruhnya di Johor dan memperbaiki pencapaian lalu.
Kali ini, PKR sekali lagi mempertaruhkan 20 calon dengan harapan bukan sahaja mempertahankan Bukit Batu malah merampas Bukit Naning, Sungai Balang, Endau dan Kempas.
Sekiranya sasaran itu menjadi kenyataan, PKR bukan sahaja mencatat peningkatan ketara berbanding prestasi 2022, malah memberi isyarat bahawa strategi mempertaruhkan gabungan calon berpengalaman dan muka baharu berjaya menarik keyakinan pengundi.
Lima kerusi ini mungkin bukan laluan paling mudah buat PKR.
Namun, sekiranya PKR berjaya mempertahankan Bukit Batu serta merampas Bukit Naning, Sungai Balang, Endau dan Kempas, parti itu bukan sahaja mampu mencatat keputusan terbaiknya di Johor sejak beberapa pilihan raya lalu malah membuktikan bahawa gabungan calon berpengalaman, muka baharu serta kempen berteraskan isu rakyat masih mempunyai tempat di hati pengundi negeri itu. – MalaysiaGazette

















Sekiranya PKR gagal…Anwar dan Anthony Loke kena letak jawatan sebab mrk yg berkempen tp kalah dgn MB Dato’ Onn Ghazi yg sangat berkaliber