KUANTAN – Pendakwah bebas, Firdaus Wong Wai Hung mencadangkan agar polis menahan pihak yang didakwa membina kuil tanpa kebenaran, bukan hanya fokus memburu individu melakukan vandalisme terhadap struktur binaannya.
Beliau berkata, dalam insiden arca patung di sebuah kuil di Bukit Tinggi, Bentong yang dirosakkan baru-baru ini, kedua-dua pelaku dan pihak pengurusan kuil telah melanggar undang-undang dan patut dihukum.
“Saya setuju dengan kenyataan Young Syefura. Tidak boleh merosakkan berhala atau sembahan orang lain. Perkara itu jelas dalam Islam.
“Sebagaimana pihak berkuasa memburu pihak yang terlibat merosakkan berhala di kuil haram tersebut yang kita tidak tahu siapa mereka, saya juga ingin mencadangkan sesuatu yang lebih mudah dilaksanakan.
“Tahan penceroboh tanah tersebut dan dakwa mereka,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Menurut Firdaus, pihak polis sudah tentu tahu identiti mereka yang bertanggungjawab membina kuil tersebut kerana telah menerima tiga laporan daripada mereka yang berkaitan.
Justeru, katanya, ia memudahkan tugas pihak berkuasa menahan mereka yang turut melanggar undang-undang tanpa perlu dikesan.
“Pemecah berhala, tak pasti siapa yang melakukannya. Pelaku mesti dikenakan tindakan sewajarnya mengikut lunas undang-undang.
“Penceroboh tanah dan pembina kuil haram pula, pihak polis tahu siapa pelakunya kerana mereka yang membuat laporan polis.
“Takkan pemecah berhala perlu diburu dan dikenakan tindakan tetapi penceroboh tanah dan pembina kuil haram tersebut tak dikenakan sebarang tindakan?,” soalnya.
Beliau turut menyifatkan kejadian itu umpama perompak membuat laporan polis terhadap pencuri yang mencuri hasil rompakan serta merosakkan kereta yang digunakan mereka untuk merompak.
Bagaimanapun, katanya perompak tidak ditahan dan didakwa kerana merompak, tetapi pencuri diburu kerana mencuri hasil rompakan serta merosakkan kenderaan perompak. – MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN
















