Sembang santai golongan muda di Pulai Sebatang bersama calon PH dan Timbalan Setiausaha Agung PKR, Saifuddin Shafi.

PONTIAN – Dengan hanya berbaki beberapa hari sebelum rakyat Johor membuat pilihan pada Pilihan Raya Negeri (PRN), pengundi muda terus menjadi kelompok yang diberi perhatian semua parti politik kerana mampu mempengaruhi keputusan di banyak kerusi, termasuk DUN Pulai Sebatang.

Menyedari landskap politik yang semakin berubah, Pakatan Harapan (PH) memilih pendekatan berbeza pada penghujung kempen apabila mengetepikan suasana ceramah besar dan tampil mendekati golongan belia menerusi sesi sembang santai.

Pendekatan ini bagi memberi ruang kepada golongan muda menyuarakan sendiri pandangan mengenai isu yang dekat dengan kehidupan seharian.

Program di Kopi 4×4, Kayu Ara Pasong, malam tadi disertai Timbalan Setiausaha Agung Parti Keadilan Rakyat (PKR), Saifuddin Shafi Muhammad bersama calon PH DUN Pulai Sebatang, Haniff Hosman.

Turut mencuri perhatian ialah kehadiran pelakon Farid Kamil yang hadir menyatakan sokongan kepada Haniff sebelum meluangkan masa beramah mesra dan bergambar bersama pengunjung.

Suasana di premis itu bertukar meriah apabila ratusan anak muda memenuhi ruang yang disediakan, ada yang hadir bersama rakan-rakan dan ahli keluarga, manakala sebahagian lagi mengambil peluang berbual secara terus dengan pemimpin dan calon tanpa protokol.

Berbanding hanya mendengar ceramah, ramai dalam kalangan mereka dilihat lebih selesa mengemukakan soalan, berkongsi pengalaman dan menyampaikan sendiri pandangan mengenai peluang pekerjaan, kos sara hidup, pendidikan, keusahawanan serta pembangunan Johor.

Saifuddin berkata, perubahan itu membuktikan pengundi muda hari ini semakin matang dalam membuat penilaian dan mahu memainkan peranan lebih besar dalam menentukan hala tuju negeri.

“Belia ialah nadi masa depan. Suara mereka perlu didengari dan idea mereka harus diraikan.

“Inilah ruang yang anak muda perlukan. Mereka berkongsi pandangan mengenai peluang pekerjaan, pendidikan, kos sara hidup, keusahawanan serta masa depan Johor,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Beliau berkata, berdasarkan maklum balas diterima, antara perkara paling banyak dibangkitkan ialah keinginan melihat lebih banyak peluang pekerjaan berpendapatan tinggi diwujudkan di Johor supaya graduan dan tenaga muda tidak perlu berhijrah ke negeri lain atau ke Singapura untuk membina kerjaya.

Menurutnya, anak muda juga mahu melihat lebih banyak sokongan kepada usahawan belia, akses kepada latihan kemahiran, ekonomi digital serta dasar yang mampu membantu mereka berdepan cabaran peningkatan kos sara hidup.

“Mereka bukan datang sekadar mahu bersalaman atau bergambar. Mereka datang dengan persoalan dan cadangan.

“Mereka mahu tahu bagaimana peluang pekerjaan dapat dipertingkatkan, bagaimana usahawan muda boleh dibantu dan apakah perancangan untuk memastikan Johor terus menyediakan masa depan yang lebih baik kepada generasi muda,” ujarnya.

Beliau berkata, pendekatan dialog secara santai membolehkan pemimpin mendengar sendiri denyut nadi masyarakat, terutama golongan muda yang cenderung menilai sesuatu berdasarkan penyelesaian yang ditawarkan berbanding retorik politik semata-mata.

Katanya, Kerajaan Madani sentiasa memberi perhatian terhadap keperluan setiap lapisan masyarakat, khususnya golongan belia yang bukan sahaja bakal menerajui negara pada masa depan, malah menjadi rakan penting dalam mencorakkan pembangunan hari ini.

Sementara itu, Haniff turut meluangkan masa beramah mesra dengan setiap kumpulan pengunjung hadir sambil mendengar sendiri pandangan serta cadangan mereka mengenai isu pembangunan setempat, kemudahan awam, peluang ekonomi dan kebajikan masyarakat di Pulai Sebatang.

Saifuddin berkata, sambutan yang diterima sepanjang program itu memperlihatkan semakin ramai anak muda mahu terlibat secara aktif dalam proses demokrasi dan tidak lagi sekadar menjadi pemerhati terhadap perkembangan politik.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua anak muda yang hadir, sambil menyifatkan keterbukaan mereka menyertai sesi dialog sedemikian sebagai petanda positif bahawa generasi muda mahu suara mereka didengari dan diambil kira dalam menentukan masa depan Johor menjelang hari pengundian Sabtu ini. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast