BATU PAHAT – Perdana Menteri berseloroh sanggup memandu Perodua Kancil jika diminta bagi menjawab kritikan pihak tertentu kerana menggunakan Mercedes sebagai kereta rasmi kerajaan.
Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kenderaan yang sering digunakannya ketika ini bukanlah dibeli kerajaan menggunakan wang rakyat, sebaliknya dikurniakan kepadanya oleh Yang di-Pertuan Agong.
“Dia (orang luar) kata Anwar ada motokar besar (sedangkan) kereta yang saya pakai malam ini Agong bagi.
“Saya kata kepada Tuanku, ampun Tuanku dan saya ambil, daftarkan jadi milik Jabatan Perdana Menteri, bukan saya punya,” katanya dalam ucapan program Yok! Meriahkan Johor Undi Harapan di Banang Jaya, Senggarang sempena kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor di sini malam ini.

Hadir sama Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil yang juga Pengarah Komunikasi Pakatan Harapan (PH)
Anwar yang juga Pengerusi PH turut menyifatkan kritikan terhadap penggunaan kenderaan rasmi itu tidak wajar kerana lebih banyak isu besar melibatkan penyalahgunaan wang dan aset negara yang sepatutnya diberikan perhatian.
“Orang curi berbilion-bilion ringgit duit negeri, ambil tanah, ambil balak, ambil projek, itu diam. Kita pakai kereta kerajaan, dia marah, kata Anwar sudah naik kereta besar.
“Iyalah…nak suruh Perdana Menteri pakai Kancil (Perodua) pun saya boleh pakai. Saya bukan jadi masalah,” selorohnya
sehingga mengundang gelak ketawa penyokong yang hadir. – MalaysiaGazette
















