KUALA LANGAT – Seorang remaja perempuan diperintahkan untuk menjalani penilaian psikiatri selepas dituduh di Mahkamah Majistret Telok Datok, di sini hari ini atas perbuatan cubaan membunuh rakannya di sebuah sekolah menengah di Banting, pada Isnin lalu.
Tertuduh berusia 15 tahun itu hanya mengangguk faham, namun tiada sebarang pengakuan direkodkan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Maslinda Selamat.
Mengikut pertuduhan, remaja itu didakwa cuba membunuh seorang pelajar perempuan berusia 15 tahun menggunakan sebilah pisau sehingga menyebabkan kecederaan dan mempunyai niat untuk menyebabkan kematian.
Perbuatan itu didakwa dilakukan di sebuah sekolah menengah di Bandar Banting dalam daerah Kuala Langat sekitar jam 9.50 pagi pada 6 Julai lalu.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara sehingga 20 tahun, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan yang diwakili Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Amirul Syafiq Yazid berkata, cadangan untuk perintah penilaian terhadap kesihatan mental tertuduh itu dilakukan mengikut Seksyen 342 (1) Tatacara Jenayah.
Mahkamah kemudian membenarkan permohonan pendakwaan supaya pelajar Tingkatan Tiga itu untuk menjalani penilaian psikiatri di Hospital Bahagian Ulu Kinta, Perak.
Mahkamah turut menetapkan sebutan semula kes pada 11 Ogos depan.
Terdahulu, pengamal media yang tiba lebih awal sekitar jam 7 pagi tidak dibenarkan masuk ke mahkamah untuk mengikut prosiding pendakwaan memandangkan kes berkenaan melibatkan tertuduh juvana.
Tertuduh yang memakai baju berhud serta berseluar hitam itu telah tiba mahkamah sekitar jam 8.33 pagi dengan menaiki kenderaan polis serta dikawal ketat angggota polis.
Remaja terbabit direman empat hari selepas seorang pelajar perempuan cedera dipercayai ditikam beberapa kali menggunakan pisau di sebuah sekolah menengah di Banting.
Dalam kejadian kira-kira jam 9.30 pagi itu, mangsa mengalami kecederaan di beberapa bahagian badan termasuk paru-paru dan kini masih menerima rawatan di hospital. – MalaysiaGazette
















