JOHOR BAHRU – Kerajaan Madani membuktikan kemampuannya apabila memulakan inisiatif Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) selepas pembangunan projek itu dilihat bergerak agak perlahan sebelum ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, sesiapa sahaja boleh mengambil kredit ke atas JS-SEZ itu, namun hakikatnya kerajaan sekarang yang menggerakkannya selepas mengambil alih pentadbiran negara.
Malah, beliau menyifatkan inisiatif pembangunan itu seolah-olah ‘tidur’ sebelum ia dibangunkan semula oleh kerajaan yang mengambil langkah proaktif.
“Kita adalah negara yang hebat dan ada masa depan yang besar. Dan kita ada projek besar di negeri Johor. Kita perlukan. Kerajaan Persekutuan mengambil inisiatif.
“Orang nak claim (tuntut), boleh claim. Bila boleh buat? Bila mula Johor-Singapore Economic Zone (JS-SEZ)? Masa Kerajaan Madani. Bila buat? Kerajaan Madani.
“Sebelum itu? Tidak, tidur sebelum itu. Perdana Menteri tidak boleh cakap garang, cakap lembut kamu hentam aku lebih kurang, aku pun balas baliklah. Lawan tetap lawan.
“Ini dia nak tahu, PM tak boleh kena cakap baik? Memang baiklah, ini lembut. Lembut dah ini,” katanya ketika berkempen pada Grand Finale Harapan Johor Selatan di Puteri Wangsa di sini malam tadi.
Turut hadir, calon PH di Dewan Undangan Negeri (DUN) Puteri Wangsa, Dr Maszlee Malik.
Pada awal Januari 2025, Malaysia dan Singapura melakar sejarah aoabila memeterai Perjanjian S-SEZ yang mencerminkan keakraban hubungan dua negara yang bersatu dalam mencapai matlamat ekonomi bersama.
JS-SEZ adalah satu kerjasama unik, menggabungkan kelebihan Malaysia dengan sumber tanah yang luas dan asas perindustrian kukuh, serta kepakaran teknologi dan kekuatan kewangan Singapura.
Gabungan itu menjadikan JS-SEZ sebagai destinasi pelaburan antarabangsa yang berdaya saing.
Sembilan kawasan strategik di Johor termasuk Iskandar Puteri, Pasir Gudang, dan Pengerang, akan menjadi tumpuan utama.
Zon ini menawarkan peluang besar dalam sektor seperti pembuatan, logistik, ekonomi digital, dan tenaga hijau.
Matlamat JS-SEZ adalah untuk menarik pelaburan bernilai tinggi, mencipta 20,000 peluang pekerjaan berkemahiran tinggi, dan merealisasikan 100 projek berimpak tinggi dalam tempoh 10 tahun.
Inisiatif ini adalah bukti komitmen Malaysia dan Singapura untuk menyediakan persekitaran pelaburan yang stabil dan progresif.
JS-SEZ yang menyasarkan keluaran dalam negara kasar sebanyak RM260 bilion menjelang 2030 dijangka mengubah landskap ekonomi Johor secara menyeluruh. – MalaysiaGazette
















