Calon Pakatan Harapan N.24 Senggarang, Onn Abu Bakar dan Calon BN N.24 Senggarang, Mohd Yusla Ismail hadir Menyantuni penduduk sekitar Pasar Malam Gate Air, Parit Karjo sempena Pilihan Raya Negeri Johor ke-16 di Batu Pahat. Foto AIZAT ZAINAL, 10 JULAI 2026.

BATU PAHAT – Menjelang hari pengundian Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor esok, debaran dan harapan jelas dirasai dalam kalangan pengundi muda di Dewan Undangan Negeri (DUN) Senggarang yang bakal menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi buat kali pertama.

Kali ini, peranan mereka bukan lagi di media sosial, sebaliknya menjadi pelengkap proses demokrasi sekali gus mampu mempengaruhi keputusan pilihan raya apabila golongan muda membentuk hampir separuh daripada keseluruhan pemilih di negeri ini.

Berdasarkan data rasmi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), seramai 165,386 pengundi berusia 18 hingga 20 tahun akan mengundi buat kali pertama pada PRN Johor ke-16 hasil pelaksanaan Undi18 dan pendaftaran pemilih secara automatik.

Ia diikuti pengundi berusia 21 hingga 29 tahun seramai 544,657 orang, 40 hingga 49 tahun (492,922), 50 hingga 59 tahun (393,780) dan 60 hingga 69 tahun (308,313).

Secara keseluruhan, terdapat hampir 1.3 juta pengundi berusia 18 hingga 40 tahun, mewakili kira-kira 47 peratus daripada 2.73 juta pemilih berdaftar, sekali gus menjadikan kelompok itu antara penentu utama keputusan pilihan raya.

Bagi mereka, pilihan kali ini bukan sekadar memangkah calon, sebaliknya menentukan masa depan kawasan yang mereka diami dengan harapan wakil rakyat yang dipilih benar-benar menunaikan janji selepas diberi mandat.

Penduduk tempatan, Muhammad Shukri Muhammad Salleh bercakap pada media sempena Pilihan Raya Negeri Johor ke-16 di Batu Pahat. Foto AIZAT ZAINAL, 10 JULAI 2026.

Bagi Muhammad Shukri Muhammad Salleh, 21, pengundi tidak seharusnya membuat keputusan berdasarkan sentimen semata-mata, sebaliknya menilai rekod dan kemampuan calon untuk berkhidmat kepada rakyat.

“Ini kali pertama saya mengundi dan saya harap pengundi muda buat kajian dulu, tengok apa yang calon pernah buat dan kemudian buat pilihan dengan betul seperti mana yang akan saya lakukan esok.

“Bagi bakal wakil rakyat pula, kalau sudah dipilih nanti, tunaikanlah manifesto dan jangan muncul masa pilihan raya sahaja, selepas itu hilang,” katanya ketika ditemui MalaysiaGzazette di sini hari ini

Senada dengan itu, Muhammad Azizi Hakim Ali, 21, berharap semua calon yang bertanding benar-benar melaksanakan segala janji yang dikemukakan sepanjang tempoh berkempen.

Penduduk tempatan, Muhammad Azizi Hakim Ali bercakap pada media sempena Pilihan Raya Negeri Johor ke-16 di Batu Pahat. Foto AIZAT ZAINAL, 10 JULAI 2026.

Beliau yang baru menamatkan pengajian berkata, sebagai anak muda daripada keluarga B40, isu bantuan pendidikan dan kos sara hidup antara perkara yang dekat di hatinya.

“Saya harap apa yang dijanjikan dalam manifesto dapat ditunaikan dan jangan jadi macam sebelum ini, cakap masa kempen tetapi akhirnya tidak berlaku.

“Saya juga berharap bantuan kepada pelajar dapat dipermudahkan kerana ada yang layak tetapi sukar mendapatkannya,” katanya.

Menurutnya, isu pendidikan termasuk cadangan berkaitan pinjaman pendidikan antara perkara yang paling menarik perhatian sepanjang kempen.

Sementara itu, seorang lagi pengundi muda, Kusyairy Muhammad Azri, 21, berkata, walaupun berdebar, dia sudah bersedia untuk menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi seawal pagi esok.

Penduduk tempatan, Kusyairy Muhammad Azri bercakap pada media sempena Pilihan Raya Negeri Johor ke-16 di Batu Pahat. Foto AIZAT ZAINAL, 10 JULAI 2026.

“Harapan saya mudah, siapa pun yang menang nanti jalankan apa yang dijanjikan dalam manifesto,” katanya.

“Saya berharap lebih banyak peluang pekerjaan diwujudkan di kawasan Senggarang bagi membolehkan anak muda membina kerjaya tanpa perlu berhijrah ke luar daerah,” katanya.

PRN Johor bagi DUN Senggarang menyaksikan pertandingan tiga penjuru membabitkan penyandang kerusi Mohd Yusla Ismail (Barisan Nasional), Onn Abu Bakar (Pakatan Harapan) dan Datuk Mohd Rashid Hasnon (Perikatan Nasional). – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast