KUANTAN – Kompleks Belia dan Sukan Negeri Pahang (KOMBES) dijangka dibuka untuk kegunaan orang ramai dam tempoh masa sebulan lagi.
Ketua Setiausaha Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Datuk Rahimi Ismail berkata, pihaknya kini melaksanakan ujian operasi ketersediaan fasiliti berkenaan agar semua kemudahan di kompleks terbabit dalam keadaan terbaik.
“Dalam tempoh sebulan ini kita akan menguji setiap fasiliti supaya semuanya berada dalam keadaan teratur dan baik.
“Selepas itu, baru kita akan umumkan mengenai kadar sewaan dan membuka tempahan secara dalam talian menerusi portal rasmi KBS,” katanya dalam sidang media selepas Majlis Perasmian KOMBES, di sini hari ini.

Majlis Perasmian KOMBES disempurnakan Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Dalam majlis sama, baginda turut berkenaan menyampaikan Anugerah Perdana Belia Negara (APBN) peringkat negeri Pahang dan Anugerah Khas Belia kerajaan negeri Pahang2026.
Turut hadir, Ketua Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang, Datuk Seri Nazri Abu Bakar; Exco Komunikasi Dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-Badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, Fadzli Mohamad Kamal dan Timbalan Menteri Ekonomi, Datuk Mohd Shahar Abdullah.
Sementara itu, Rahimi berkata, kompleks baharu itu diharap dapat dimanfaatkan sepenuhnya bukan sahaja golongan belia di negeri ini, malah segenap lapisan masyarakat.
“Hari ini cukup bersejarah di mana kita telah merasmikan kompleks ini. Proses pembinaannya memang mengambil masa yang panjang sebab kontraktor bermula pasca Covid-19 menyebabkan kos pembinaan sebanyak RM30 juta disediakan pihak KBS.
“Kita berharap kemudahan ini digunakan sebaik-baiknya dan dari semasa ke semasa KBS akan terus meningkatkan kemudahan yang ada di sini.
“Antara kemudahan disediakan ialah pejabat pentadbiran, dewan utama, gimnasium, gelanggang sukan, taman papan selaju, kemudahan panjat dinding serta pelbagai lagi fasiliti untuk kegunaan semua lapisan masyarakat,” katanya.
Dalam pada itu, Fadzli berkata, KOMBES Pahang merupakan satu kemudahan yang amat diperlukan golongan belia susulan cabaran semasa yang semakin kompleks.
Justeru katanya, kerajaan negeri sentiasa memberi perhatian terhadap usaha melahirkan anak muda dan belia berkualiti bagi menghadapi pelbagai cabaran masa kini.
“KOMBES yang dirasmikan hari ini sememangnya dinantikan oleh anak muda dan belia di negeri ini.
“Dengan kemudahan yang lebih baik dan persekitaran yang kondusif, kompleks ini diyakini menjadi medan untuk generasi muda membina disiplin, mengasah bakat serta merealisasikan impian mereka.
“Terima kasih kepada KBS atas sokongan dan peruntukan untuk pembinaan kompleks ini,” katanya.

Beliau turut memaklumkan KBS telah meluluskan peruntukan lebih RM7 juta bagi menaik taraf beberapa fasiliti di Stadium Darul Makmur, termasuk lampu limpah, tempat duduk serta kerja pendawaian kalis air.
Selain itu, katanya, KBS turut meluluskan peruntukan RM500,000 bagi kerja baik pulih litar drag motor di Pekan yang dinantikan golongan muda. – MalaysiaGazette















