SEGAMAT – Kedua-dua penyandang kerusi DUN Pemanis dan Buloh Kasap percaya semua generasi Felda di Johor tetap akan setia kepada Barisan Nasional (BN) dan tidak akan mengkhianati Felda pada Pilihan Raya Johor ke 16 pada esok.
Calon BN di DUN Pemanis, Anuar Abd Manap berkata, Sabtu adalah penentu sama ada warga Felda akan membuktikan kesetiaan mereka kepada Felda dan kayu ukur kepadanya.

Anak jati Felda Pemanis itu berkata rakyat akan menilai rekod terdahulunya berkhidmat kepada mereka sepanjang penggal lalu.
“Siapa yang ada di DUN Pemanis ini tahu cara saya bekerja, mengangkat suara mereka termasuk mereka yang ke luar berhijarah ke tempat lain.
“Alhamdulillah menerusi Sekretariat Anak Felda Johor juga menghubungkan anak-anak Felda yang merantau di luar dengan Kerajaan negeri.
Tambahnya adalah penting untuk anak tempatan terus berkhidmat bersama warga peneroka yang memahami denyut nadi rakyat berbanding mereka yang tidak tahu di lapangan sebenar.
“Saya yakin semua generasi Felda tahu sejarah dan percaya mereka tahu kepentingan melindungi komuniti peneroka,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Sementara itu bagi calon DUN N.03 Buloh Kasap, Datuk Zahari Sarip berkata pelbagai inisiatif dibuat oleh Kerajaan negeri Johor dalam memartabatkan generasi peneroka dari dulu hingga kini.
Justeru katanya generasi kedua dan ketiga Felda yang pulang mengundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor diseru membuat pilihan dengan mengambil kira masa depan keluarga yang masih menetap di tanah rancangan.
Tambahnya, walaupun ramai anak Felda kini menetap dan bekerja di luar negeri, ibu bapa serta generasi pertama tetap meneruskan kehidupan di tanah rancangan dan bergantung kepada dasar serta perhatian kerajaan.
“Saya harap warga dan generasi Felda yang berada di luar sentiasa mengambil maklum apa yang telah kerajaan bantu dan inisiatif yang dilaksanakan di seluruh kawasan Felda di Johor, termasuk di Felda Balong Timur.
“Saya faham setiap kali pilihan raya mereka akan pulang mengundi, kemudian kembali semula ke tempat masing-masing. Tetapi keluarga dan generasi pertama masih tinggal di Felda.
“Sebab itu saya berharap semua warga Felda memilih kerajaan yang benar-benar prihatin terhadap kebajikan masyarakat Felda,” katanya.
Beliau berkata, kerajaan negeri komited memastikan kebajikan warga Felda terus menjadi keutamaan dengan Menteri Besar Johor sendiri berulang kali menegaskan bahawa masyarakat Felda merupakan “anak emas” kerajaan negeri.
“Percayalah, kerajaan Johor akan sentiasa memberi perhatian kepada perkara berkaitan Felda kerana Menteri Besar Johor sudah berkali-kali menyatakan bahawa Felda adalah anak emas kerajaan,” katanya.
Menurut beliau, komitmen itu diterjemahkan melalui pelbagai peruntukan dan program yang dilaksanakan sejak 2022 lalu hingga kini, lebih RM30 juta telah dibelanjakan kerajaan negeri untuk manfaat warga Felda.
“Kita juga sentiasa berusaha mendekati warga Felda yang berada di luar Johor. Mungkin tidak semua dapat ditemui, tetapi pelbagai program diadakan seperti kejohanan sukan, sambutan Aidilfitri bersama anak-anak Felda di perantauan serta pelbagai lagi aktiviti bagi mengeratkan hubungan antara kerajaan negeri dan komuniti Felda.
“Usaha ini penting supaya maklumat mengenai inisiatif kerajaan dapat disampaikan secara berterusan kepada warga Felda, walau di mana mereka berada,” katanya.
Seramai 172 calon akan merebut kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16 di 56 buah DUN.
Menurut statistik Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) , seramai 2,727,926 pengundi berdaftar layak menunaikan tanggungjawab mereka pada esok. – MalaysiaGazette
















