JOHOR BAHRU – Ibu bapa perlu memainkan peranan besar untuk mengajak anak-anak agar menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
Seorang pengundi, Loke Choy Hong, 51, berkata, ia kerana keluar mengundi itu merupakan satu kewajipan kepada rakyat terutamanya buat anak-anak demi masa depan mereka.
Namun dia berpendapat, anak-anak mempunyai pilihan masing-masing untuk memilih calon wakil rakyat kerana mereka sudah matang untuk menilai senario politik yang berlaku.
“Keluar mengundi penting untuk masa depan anak-anak dan saya ada nasihat kena mesti pergi mengundi. Tetapi anak-anak sendiri pilih siapa calon pilihan mereka dan saya tidak perlu cakap. Anak-anak boleh tengok dan perhati apa yang berlaku dan sendiri faham apa mereka mahu.
“Tidak boleh paksa ikut saya dan mereka sendiri pilih calon,” katanya kepada MalaysiaGazette selepas selesai membuang undi bersama suami dan tiga anaknya di Sekolah Menengah Kebangsaan Taman Desa Tebrau, Johor Bahru di sini.
Hari ini 2.73 juta pengundi di Johor akan menentukan siapa antara Barisan Nasional (BN) atau Pakatan Harapan (PH) yang akan mentadbir negeri itu.
Sekitar pukul 10 malam ini, rakyat akan mengetahui siapa pilihan pengundi di negeri itu untuk membawa kemajuan buat mereka lima tahun ke hadapan.
PRN Johor kali ini turut menyaksikan jumlah pengundi muda berusia antara 18 hingga 29 tahun seramai 714,223 juga boleh menjadi king maker kepada pola pengundian kali ini.
Daripada jumlah itu, 169,380 pengundi adalah mereka yang berusia antara 18 hingga 20 tahun, yang sebahagiannya dipercayai pengundi kali pertama.
Sementara itu, Choy Hong memberitahu, dia tidak terpengaruh dengan berita-berita di media sosial sebagai faktor untuk memilih siapa wakil rakyat pilihannya.
Katanya, sebagai pengundi, dia boleh menilai kemampuan seseorang calon yang bertanding tanpa perlu mendapat nasihat daripada orang lain.
“Saya sendiri baca sahaja berita di media sosial Apa yang cakap-cakap dan kawan-kawan beritahu, hanya dengar sahaja.
“Kalau berita baik, terima sahaja dan kalau tidak baik, keluar dari telinga saya sahaja,” katanya.
Sementara itu, kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Puteri Wangsa menyaksikan bekas Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik mewakili Pakatan Harapan berdepan pertandingan lima penjuru melibatkan Teow Chia Ling (BN), Nicholas Paul Vincent (BERSAMA), Rashifa Al Junied (MUDA) dan calon Bebas, Wang Wee Siong.
Dengan 128,723 pemilih berdaftar, ia antara kerusi terbesar dari segi jumlah pengundi dan dijangka menjadi antara persaingan paling sengit. – MalaysiaGazette
















