JOHOR BAHRU – Keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16 malam ini menunjukkan majoriti rakyat dan pengundi Johor menzahirkan penolakan terhadap Pakatan Harapan (PH) khususnya DAP.
Pesuruhjaya Pas Johor Datuk Dr Mahfodz Mohamed berkata, pihaknya akur dan menerima dengan hati terbuka keputusan PRN Johor ke-16 yang menyaksikan Barisan Nasional (BN) berjaya membentuk kerajaan negeri yang baharu.
“Pas menghormati mandat yang diberikan oleh rakyat dan pengundi di negeri ini yang telah menzahirkan pilihan mereka secara demokratik. Tahniah kepada BN yang diterajui oleh Datuk Onn Hafiz Ghazi atas kemenangan tersebut.
“Dengan keputusan ini, seruan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang untuk memastikan kuasa pemerintahan negeri terus berada di bawah kepimpinan orang Melayu Islam telah berjaya direalisasikan.
“Keputusan pilihan raya ini juga menunjukkan bahawa majoriti rakyat dan pengundi negeri Johor telah menzahirkan penolakan terhadap PH, khususnya DAP,” katanya dalam kenyataan.
Mengulas mengenai hala tuju parti, Mahfodz menegaskan Pas Johor bersama-sama Perikatan Nasional (PN) akan terus beristiqamah dalam memperkukuhkan komitmen bagi meneruskan agenda perjuangan demi agama, bangsa serta kebajikan rakyat.
Langkah tersebut katanya, sebagai persediaan awal parti dalam menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU-16) akan datang.
“Pas Johor turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada seluruh barisan kepimpinan, ahli, petugas, jentera pilihan raya, serta pengundi PN-Pas.
“Penghargaan itu turut dipanjangkan kepada jentera tempatan, kawasan bantu dari seluruh negeri, negeri-negeri bantu dari seluruh Malaysia serta Pas Pusat yang memberikan komitmen tinggi daripada segi tenaga, masa dan kewangan,” ujarnya.- MalaysiaGazette
















