Jude Bellingham

KUALA LUMPUR –  Jude Bellingham meledakkan dua gol ketika England bangkit daripada ketinggalan untuk menewaskan Norway 2-1 selepas masa tambahan, sekali gus mara ke separuh akhir Piala Dunia FIFA 2026 di Stadium Miami pada Sabtu.

Pemain tengah Real Madrid itu menjaringkan gol kemenangan pada minit ke-93 selepas penjaga gol Norway Orjan Nyland gagal menangkap kemas percubaan deras Morgan Rogers dari luar kawasan penalti.

Bellingham bertindak paling pantas merampas bola muntah sebelum menyudahkannya dari jarak dekat untuk membawa skuad Three Lions kendalian Thomas Tuchel mara ke separuh akhir Piala Dunia buat kali pertama sejak edisi 2018 di Rusia.

England, yang memenangi satu-satunya gelaran Piala Dunia di laman sendiri pada 1966, kini hanya memerlukan dua lagi kemenangan untuk menamatkan penantian selama 60 tahun bagi meraih kejuaraan kedua.

Pada aksi suku akhir itu, Norway mendahului seawal minit ke-36 menerusi Andreas Schjelderup yang melakukan penyudah menarik untuk menewaskan penjaga gol England Jordan Pickford.

Bellingham bagaimanapun menyamakan kedudukan pada masa kecederaan babak pertama selepas menyambut hantaran Anthony Gordon, mencipta ruang di dalam kawasan penalti sebelum melepaskan rembatan leret yang tepat ke dalam gawang. – BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast