DHAKA– Aktivis hak pekerja Britain, Andy Hall didakwa mengugut beberapa wartawan Bangladesh selain mengeluarkan kenyataan berunsur perkauman selepas beberapa organisasi media melaporkan lawatan terbaharunya ke Dhaka dan pertemuan dengan pegawai kerajaan negara itu.
Kontroversi berkenaan tercetus ketika Bangladesh dan Malaysia sedang meneruskan usaha membuka semula pasaran buruh kepada pekerja Bangladesh susulan lawatan Perdana Menteri Bangladesh ke Kuala Lumpur baru-baru ini.
Menurut sumber Kementerian Kebajikan Ekspatriat dan Pekerjaan Luar Negara Bangladesh, sepanjang lawatannya Hall mengadakan pertemuan dengan beberapa pegawai kanan kerajaan termasuk menteri berkaitan, Pembantu Khas Perdana Menteri, wakil agensi pengambilan pekerja serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
Sumber itu mendakwa Hall menggesa kerajaan Bangladesh menilai semula beberapa aspek berkaitan pembukaan semula pasaran buruh ke Malaysia, termasuk perkara yang menyentuh Sistem Pengurusan Berpusat Pekerja Asing (Foreign Workers Centralised Management System – FWCMS).
Bagaimanapun, cadangan itu dikatakan tidak dipersetujui pihak kementerian yang kekal dengan pendirian menyokong usaha pembukaan semula pasaran buruh ke Malaysia.
Selepas laporan mengenai lawatannya disiarkan, Hall didakwa menghantar mesej menerusi aplikasi WhatsApp kepada wartawan dan pengurusan media dengan memberi amaran tindakan undang-undang akan diambil.
Dalam mesej yang didakwa dilihat media tempatan, Hall turut mengeluarkan kenyataan yang disifatkan berbaur perkauman.
“Anda tidak sepatutnya mencari masalah dengan saya. Saya rakyat Britain dan saya berkulit putih. Anda boleh cuba [kata kesat] dengan rakyat Bangladesh sendiri, tetapi jangan [kata kesat] dengan saya,” menurut mesej yang didakwa dihantar Hall.
Beliau turut mendakwa laporan yang diterbitkan adalah berunsur fitnah dan memaklumkan peguamnya sedang membuat persediaan untuk memulakan prosiding undang-undang terhadap pihak terbabit.
Hall bagaimanapun mempertahankan lawatannya dengan menjelaskan beliau berada di Bangladesh bagi menyokong usaha pembaharuan berkaitan migrasi dan hak pekerja.
“Saya memperjuangkan pasaran buruh yang terbuka kepada semua,” katanya sambil menyifatkan pertemuannya dengan pegawai kerajaan pada 5 Julai lalu sebagai “tidak produktif”.
Sementara itu, pegawai kementerian mendakwa lawatan Hall diatur oleh bekas Setiausaha Bersama Persatuan Agensi Pengambilan Antarabangsa Bangladesh (BAIRA) bersama beberapa individu lain yang didakwa cuba mempengaruhi pendirian kerajaan mengenai pembukaan semula pasaran buruh ke Malaysia.
Beberapa tokoh perniagaan turut mendakwa Hall mengadakan pertemuan dengan wakil agensi pengambilan pekerja dan aktivis migrasi sepanjang berada di Bangladesh, namun dakwaan itu tidak dapat disahkan secara bebas.
Malah terdapat dakwaan bahawa Hall sebelum ini menyokong beberapa dasar yang berpotensi mengehadkan akses Bangladesh ke pasaran buruh Malaysia namun beliau telah menafikan sebarang salah laku.
Dalam perkembangan sama, pegawai perisikan Bangladesh yang enggan dikenali mendakwa Hall memasuki negara itu menggunakan visa pelancong.
Setakat ini, pihak berkuasa Bangladesh belum mengumumkan sebarang siasatan rasmi berhubung lawatan Hall atau dakwaan yang dikaitkan dengannya. – Agensi
















