Notis yang dimuat naik di Facebook Kedutaan Besar Malaysia di Qatar

KUALA LUMPUR – Rakyat Malaysia di Qatar diminta mematuhi arahan keselamatan yang dikeluarkan pihak berkuasa negara itu susulan siri serangan terbaharu antara Amerika Syarikat (AS) dan Iran.

Menerusi satu notis yang dimuat naik di laman Facebook rasminya, Kedutaan Besar Malaysia di Doha menggesa rakyat Malaysia supaya sentiasa peka terhadap keadaan persekitaran.

“Silalah patuhi arahan keselamatan yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa Qatar dari semasa ke semasa dan pastikan hanya mendapatkan maklumat daripada sumber yang disahkan,” menurut notis itu.

Kedutaan turut menasihati mereka yang akan berlepas dari atau transit di Qatar supaya menyemak jadual penerbangan terkini bagi mengelakkan sebarang gangguan.

Rakyat Malaysia yang memerlukan bantuan konsular boleh menghubungi talian hotline kedutaan yang beroperasi 24 jam di +974-3374 6733 atau menghantar e-mel kepada [email protected].

Pada Ahad, tentera AS melancarkan gelombang ketiga serangan terhadap Iran minggu ini selepas tentera Iran melepaskan tembakan ke arah sebuah kapal yang sedang melalui Selat Hormuz serta mengumumkan penutupan laluan perairan strategik itu, menurut Anadolu Ajansi.

Media turut melaporkan bahawa Tentera Laut Kor Pengawal Revolusi Islam Iran (IRGC) pada Ahad mengumumkan Selat Hormuz ditutup sehingga dimaklumkan kelak. IRGC menegaskan laluan perairan strategik itu akan terus ditutup sehingga campur tangan AS di rantau berkenaan dihentikan, dan tiada kapal dibenarkan melaluinya.

Pada Jun lalu, Tehran dan Washington menandatangani memorandum persefahaman yang diusahakan Pakistan bagi menamatkan perang yang bermula pada penghujung Februari serta membuka laluan kepada perjanjian damai yang berkekalan.

Memorandum itu menggariskan penghentian segera pertempuran di semua medan, penamatan sekatan laut AS ke atas Iran serta pembukaan semula Selat Hormuz.

Bagaimanapun, meskipun perjanjian itu dimeterai, kedua-dua pihak kembali berbalas serangan minggu ini berhubung laluan trafik perdagangan melalui Selat Hormuz. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast