Adif Zulkifli (tiga dari kiri) dan Yoshitake Matsumoto (tiga dari kanan) bergambar selepas majlis menandatangani Perjanjian Jual Beli Gas Asli Cecair (LNG) yang diadakan di Kuala Lumpur.

 

KUALA LUMPUR – Petronas LNG Ltd. (PLL), anak syarikat Petroliam Nasional Berhad (Petronas), menandatangani Perjanjian Jual Beli Gas Asli Cecair (LNG) baharu bersama Shizuoka Gas Co., Ltd. (Shizuoka Gas).

Perjanjian itu sekali gus memperkukuh kerjasama strategik yang telah dibina sejak tiga dekad lalu serta mengukuhkan komitmen bersama dalam meningkatkan keselamatan tenaga jangka panjang.

Menerusi perjanjian tersebut, PLL akan membekalkan kira-kira 0.84 juta tan metrik (MMT) LNG bagi tempoh tujuh tahun bermula 2032.

Dengan memanfaatkan portfolio LNG global Petronas yang pelbagai, perjanjian itu menawarkan fleksibiliti bekalan dan kebolehpercayaan yang lebih tinggi bagi menyokong keperluan tenaga Shizuoka Gas yang terus berkembang dalam persekitaran pasaran yang berubah-ubah.

Petronas berkata, kerjasama ini mencerminkan peningkatan permintaan terhadap penyelesaian bekalan LNG yang lebih fleksibel, ketika pelanggan mencari tahap daya tahan dan keselamatan tenaga lebih kukuh dalam landskap tenaga global yang dinamik.

Majlis menandatangani perjanjian itu dilaksanakan oleh Naib Presiden Eksekutif Petronas merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Perniagaan Gas dan Maritim, Datuk Adif Zulkifli, bersama  Presiden Shizuoka Gas, Yoshitake Matsumoto.

Adif berkata, perjanjian tersebut bukan sekadar pencapaian komersial, sebaliknya mencerminkan 30 tahun kepercayaan bersama, pertumbuhan serta kerjasama yang terus berkembang seiring perubahan landskap tenaga.

“Petronas menghargai hubungan kukuh yang telah dibina bersama Shizuoka Gas dan berharap dapat memperluaskan lagi kerjasama ini pada tahun-tahun akan datang.

“Ketika keperluan pelanggan semakin dinamik, Petronas kekal komited menyediakan penyelesaian LNG yang boleh dipercayai dan fleksibel menerusi portfolio global kami, sekali gus menyokong keselamatan tenaga jangka panjang sambil memajukan peralihan tenaga yang pragmatik serta bertanggungjawab,” katanya.

Majlis itu turut memperingati ulang tahun ke-30 penghantaran kargo LNG pertama Petronas kepada Shizuoka Gas, sekali gus meraikan hubungan kerjasama yang berkembang seiring pertumbuhan pasaran LNG Jepun serta perubahan keperluan pengguna tenaga negara itu.

Berpaksikan kepercayaan yang dibina sepanjang 30 tahun lalu, Shizuoka Gas dan Petronas berhasrat memperkukuh lagi hubungan mereka melangkaui hubungan tradisional antara penjual dan pembeli LNG dengan meneroka peluang kerjasama dalam usaha penyahkarbonan sepanjang rantaian nilai LNG.

Sebagai antara pembekal LNG terkemuka dunia, Petronas terus memanfaatkan portfolio LNG global yang bersepadu dan pelbagai bagi menyediakan penyelesaian tenaga yang boleh dipercayai kepada pelanggan di seluruh dunia, menyokong keselamatan tenaga serta memudah cara peralihan tenaga yang bertanggungjawab. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast