KUALA LUMPUR – Malaysia menegaskan kuasa veto yang dimiliki anggota tetap Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) adalah tidak adil dan perlu dimansuhkan, khususnya dalam kes membabitkan jenayah perang, genosid serta jenayah terhadap kemanusiaan.
Timbalan Menteri Luar, Datuk Lukanisman Awang Sauni berkata, pendirian itu selaras dengan komitmen berterusan Malaysia yang menyokong reformasi menyeluruh Majlis Keselamatan PBB bagi memastikan badan tersebut lebih telus, inklusif dan berkesan dalam memelihara keamanan dunia.
Menurut beliau, institusi berkenaan sering gagal melaksanakan mandat utamanya di bawah Piagam PBB untuk mengekalkan keamanan dan keselamatan sejagat, termasuk menangani konflik di Asia Barat serta mempertahankan hak asasi rakyat Palestin.
“Malaysia secara konsisten menyokong dan menggesa pelaksanaan reformasi Majlis Keselamatan PBB secara menyeluruh, termasuk kuasa veto.
“Pendirian Malaysia jelas bahawa kuasa veto adalah tidak adil dan perlu dimansuhkan. Paling tidak, penggunaannya mesti dihentikan dalam kes pencabulan undang-undang antarabangsa yang melibatkan jenayah perang, genosid, jenayah terhadap kemanusiaan serta pemusnahan infrastruktur awam secara sengaja seperti yang berlaku di Gaza,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.
Lukanisman berkata demikian menjawab soalan lisan Datuk Seri Sh Mohmed Puzi Sh Ali (BN-Pekan) yang ingin mengetahui pendirian Malaysia terhadap ketidakseimbangan kuasa veto oleh kuasa besar dunia dalam Majlis Keselamatan PBB.
Beliau berkata, antara langkah penting yang telah dicapai ialah kelulusan Resolusi Perhimpunan Agung PBB 76/262 pada 2022 yang menetapkan Perhimpunan Agung perlu bersidang secara automatik dalam tempoh 10 hari bekerja setiap kali kuasa veto digunakan oleh mana-mana anggota tetap Majlis Keselamatan PBB.
Katanya, Malaysia menyokong resolusi tersebut kerana ia meningkatkan ketelusan dengan mewajibkan negara yang menggunakan veto memberikan penjelasan kepada Perhimpunan Agung.
Sebagai contoh, katanya, mesyuarat tergempar Perhimpunan Agung PBB telah diadakan pada 16 April lalu selepas China dan Rusia menggunakan kuasa veto pada 7 April 2026 terhadap resolusi berkaitan situasi di Iran dan Selat Hormuz.
Dalam pada itu, beliau berkata, Malaysia turut menyokong usaha memperluaskan keanggotaan tetap dan tidak tetap Majlis Keselamatan PBB supaya setiap rantau diwakili secara lebih adil serta mencerminkan realiti geopolitik semasa.
Beliau turut memaklumkan Malaysia telah mengemukakan pencalonan secara rasmi untuk kembali menganggotai Majlis Keselamatan PBB sebagai anggota tidak tetap bagi penggal 2036 hingga 2037, selain akan terus membawa agenda reformasi badan dunia itu pada Perhimpunan Agung PBB Ke-81 di New York pada September ini. – MalaysiaGazette
















