KUANTAN – Penunggang maut manakala pembonceng motosikal yang merupakan kanak-kanak berusia enam tahun parah selepas dirempuh sebuah pacuan empat roda di kilometer 15 Jalan Utama Mempaga, Bentong malam tadi.
Ketua Polis Daerah Bentong, Superintendan Zaiham Mohd Kahar berkata, dalam kejadian dilaporkan kira-kira jam 10.48 malam tadi.
Katanya, ketika kejadian motosikal dinaiki kedua-dua mangsa dalam perjalanan dari arah Raub menghala ke Kuala Lumpur.
“Sebelum tiba di lokasi kejadian, pacuan empat roda jenis Toyota Hilux dari arah bertentangan dipercayai telah memintas beberapa buah kenderaan di kawasan garisan berkembar.
“Bagaimanapun, ketika kejadian, Hilux itu memasuki laluan motosikal terbabit dan telah bertembung dengan kedua-dua mangsa,” katanya dalam kenyataan.
Akibat pertembungan itu, Zaiham berkata, penunggang motosikal berusia 33 tahun mengalami kecederaan parah di bahagian kepala, serta cedera di bahagian tangan dan kaki dan disahkan meninggal dunia di lokasi terbabit.
Manakala, kanak-kanak lelaki pembonceng motosikal berkenaan pula mengalami cedera parah di bahagian kaki kiri dan dirawat di Hospital Bentong.
“Pemandu dan seorang penumpang dalam Hilux terlibat bagaimanapun tidak cedera,” katanya.
Susulan kejadian itu, Zaiham berkata, pemandu Hilux telah ditahan dan permohonan reman ke atasnya akan dikakukan pagi ini di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah.
Kes itu disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan. – MalaysiaGazette
















