KUALA LUMPUR Lotus ‘s Malaysia mengaku pengendalian insiden wanita hamil didakwa mencuri oleh seorang pekerja di pasaraya besar itu, baru-baru ini tidak memenuhi standard layanan dan perkhidmatan yang diterapkan syarikat.
Sehubungan itu, Lotus’s Malaysia memaklumkan, tindakan tatatertib sewajarnya telah diambil selaras degan dasar dalaman syarikat.
”Kepada pelanggan, isteri beliau serta keluarga mereka, kami ingin memohon maaf atas insiden yang berlaku.
”Tiada pelanggan sepatutnya melalui pengalaman sedemikian ketika membeli-belah bersama kami. Kami amat kesal atas pengalaman yang telah mereka lalui.
“Kami juga telah menghubungi keluarga tersebut secara langsung dan kekal komited untuk mendapatkan semula kepercayaan mereka,” kata syarikat itu dalam satu kenyataan.
Tambahnya, Lotus’s Malaysia juga telah memperkukuhkan garis panduan, prosedur dan latihan bagi memastikan semua pekerjanya mengamalkan standard perkhimatan yang ditetapkan serta membantu mengelakkan kejadian seumpama ini daripada berulang.
”Insiden ini mengingatkan kami tentang pentingnya melayan setiap pelanggan dengan empati, rasa hormat dan bermaruah,” katanya lagi.
Beberapa hari lalu, tular di media sosial hantaran seorang lelaki bernama Fareez yang memaklumkan isterinya yang sedang hamil dituduh mencuri dan menyorokkan barangan tersebut di dalam baju dalam satu kejadian di sebuah pasaraya besar
Pasangan tersebut tidak berpuas hati dengan tuduhan dan cara pengendalian insiden tersebut oleh penyelia Lotus’s Selayang yang mana turut meminta isterinya yang sedang sarat mengandung berdiri selama 20 minit.
Hantaran tersebut mengundang pelbagai reaksi daripada warga net yang kebanyakannya tidak berpuas hati dengan tindakan penyelia terbabit.
















