RAUB – Seorang pekebun sayur didenda RM80,000 selepas mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen Raub, di sini hari ini kerana menceroboh tanah milik kerajaan negeri di Cameron Highlands.
Tertuduh, Sathis a/l Ratenom, 29 turut diperintah Hakim Noor Zaihan Mohamad Ali menjalani hukuman penjara lapan bulan jika gagal membayar denda tersebut.
Mengikut pertuduhan, dia didakwa tanpa kebenaran sah telah membersihkan tanah kerajaan negeri Pahang di Pos Terisu, Mukim Ulu Telom, Cameron Highlands pada 14 Januari 2025.
Oleh itu, dia didakwa melakukan kesalahan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 425 (1) (b) Kanun Tanah Negara yang memperuntukkan hukuman di bawah Seksyen 425 (1)(b) Kanun Tanah Negara dan Seksyen 426C (3) Kanun Tanah Negara.
Berdasarkan fakta kes, Unit Penguatkuasaan Negeri Pahang (UPNP) mendapati tertuduh gagal mengemukakan sebarang permit atau kebenaran bagi menjalankan aktiviti pembersihan tanah berkeseluasan anggaran 0.101 hektar untuk tujuan pertanian di lokasi terbabit pada tarikh berkenaan.
Kes dikendalikan Pegawai Pendakwa UPNP, Muhammad Muqris Alif Zairiasdi, Taqiuddin Azizan dan Noor Shazana Ghani, manakala tertuduh tidak diwakili peguam. – MalaysiaGazette
















