Gambar hiasan Parlimen
Bangunan Parlimen

KUALA LUMPUR – Rang Undang-Undang (RUU) bagi meminda Akta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) 1998 diluluskan di Dewan Rakyat hari ini menerusi undi suara.

Bagaimanapun, perbahasan mengenainya menyaksikan pelbagai pihak membangkitkan kebimbangan berhubung kuasa Menteri Komunikasi, proses pelantikan kepimpinan suruhanjaya serta tahap kebebasan badan pengawal selia itu.

RUU berkenaan dibentangkan Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching untuk bacaan kali kedua dan ketiga sebelum diluluskan oleh Dewan Rakyat.

Ketika menggulung perbahasan, Nie Ching mempertahankan pindaan tersebut sambil menegaskan, proses reformasi memerlukan masa.

“Reformasi memerlukan masa. Ia mungkin belum sempurna, saya setuju, tetapi bukankah ini satu penambahbaikan?,” katanya ketika berlaku pertikaman lidah dengan Datuk Seri Shahidan Kassim (PN-Arau).

Beliau turut mendakwa, Shahidan merupakan satu-satunya Ahli Parlimen yang secara terbuka membantah RUU berkenaan.

Sepanjang sesi perbahasan, beberapa ahli Parlimen daripada kerajaan dan pembangkang membangkitkan persoalan mengenai skop kuasa yang diberikan kepada Menteri Komunikasi, peningkatan had nilai kontrak yang boleh diluluskan MCMC tanpa kelulusan menteri serta kaedah pelantikan pengerusi suruhanjaya itu.

Lim Lip Eng (PH-Kepong) berkata, pindaan tersebut dilihat memperluaskan kuasa MCMC, namun tidak disertakan mekanisme mencukupi untuk menjamin kebebasan dan akauntabiliti suruhanjaya berkenaan.

Menurutnya, peruntukan yang membolehkan menteri komunikasi melantik dan memecat anggota suruhanjaya tanpa perlu memberikan alasan boleh menjejaskan kebebasan MCMC.

“Ini bermakna pihak yang melantik, memberi arahan dan mempunyai kuasa memecat tanpa alasan masih mengawal selia badan pengawal itu,” katanya.

Beliau turut mencadangkan jawatan Pengerusi MCMC dan Ketua Pegawai Eksekutif dipisahkan serta pelantikannya dibuat melalui proses yang bebas dan telus.

Sementara itu, Ahmad Fadhli Shaari (PN-Pasir Mas) mempersoalkan dakwaan bahawa MCMC akan menjadi lebih bebas menerusi pindaan tersebut.

Katanya, kuasa menteri dalam melantik pengerusi masih kekal, manakala Parlimen dan rakyat tidak diberikan ruang untuk meneliti atau mengetahui proses pemilihan calon.

“Jadi, apakah reformasi yang sebenarnya telah dilaksanakan?” soalnya yang juga Ketua Penerangan Pas.

Menurut beliau, tanpa proses pemilihan yang bebas dan telus, MCMC akan terus dilihat sebagai alat kerajaan yang memerintah serta berisiko mencetuskan persepsi amalan dwistandard dan penganiayaan politik. – MalaysiaGazette

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast