KUALA LUMPUR – Harga runcit RON95 dan diesel tanpa subsidi masing-masing meningkat 5 sen dan 10 sen seliter bagi tempoh 16 Julai hingga 22 Julai 2026.

Harga runcit RON97 pula dikekalkan.

Kementerian Kewangan berkata, harga produk petroleum tanpa subsidi dipengaruhi oleh pergerakan pasaran minyak dunia pada minggu terdahulu.

Menurutnya, serangan baharu Amerika Syarikat ke atas Iran serta kebimbangan terhadap keselamatan laluan perdagangan di Selat Hormuz telah meningkatkan semula premium risiko minyak mentah dan kos penghantaran.

Harga minyak mentah Brent telah mencecah AS$85 setong, meningkat sekitar 20% dalam tempoh dua minggu.

Jelasnya, selagi konflik ini belum mencapai penyelesaian muktamad, harga produk petroleum dijangka terus dibelenggu oleh ketidaktentuan pasaran global.

“Walaupun bekalan bahan api negara kekal mencukupi buat masa ini, Kerajaan Madani menyeru rakyat agar terus mengamalkan penggunaan bahan api secara berhemat.

“Perancangan perjalanan yang lebih cekap serta pengurangan perjalanan yang tidak perlu dapat membantu memanjangkan bekalan negara dan mengurangkan tekanan terhadap perbelanjaan subsidi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Manakala semua harga petroleum bersubsidi masih kekal.

Harga RON95 (BUDI95) dan diesel (BUDI Diesel) masing-masing RM1.99 dan RM2.10 seliter.

Melalui BUDI95 dan BUDI Diesel, rakyat Malaysia yang layak terus boleh membeli menggunakan MyKad, tertakluk kepada kelayakan dan baki kelayakan bulanan masing-masing.

Sementara itu, harga Sistem Kawalan Petrol Bersubsidi (SKPS) dan Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) pula masing-masing RM2.05 dan RM2.15 seliter.

Kementerian Kewangan berkata, kerajaan akan terus mengambil pendekatan berhemah bagi melindungi rakyat daripada turun naik harga, di samping memastikan bekalan bahan api negara kekal mencukupi dan terjamin. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast