SEREMBAN – Barisan Nasional (BN) mengumumkan hanya 25 calon Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan.
Timbalan Presidennya, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, ia sebagai langkah memberi ruang kepada usaha mencapai persefahaman dengan rakan kerjasama politik.
“BN akan mengumumkan sebanyak 25 kerusi sahaja kerana kita ada hasrat untuk mengadakan persefahaman bagi mengharungi PRN Sembilan.
“Jadi, kita tunggulah pengumuman daripada pihak sebelah esok,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Jenter dan Pengumuman Calon BN Negeri Sembilan di Stadium Paroi, di sini, malam ini.

Mengulas mengenai individu yang bakal diketengahkan sebagai ‘poster boy’ BN bagi PRN Negeri Sembilan, Mohamad yang juga Timbalan Presiden UMNO berkata, perkara itu belum diputuskan.
“Tak tahu saya,” katanya ringkas ketika diajukan soalan mengenai perkara tersebut.
Dalam perkembangan lain, beliau turut menyentuh mengenai persediaan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang diumumkan sebagai Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Negeri Sembilan.
Menurutnya, Azmin perlu bekerja keras dan menguruskan parti dengan baik sekiranya mahu berdepan saingan sengit di negeri itu.
“Datuk Seri Mohamed Azmin perlu bekerja kuat dan perlu bersama-sama mengurus parti kerana persaingan di Negeri Sembilan adalah sengit,” katanya.
Ditanya mengenai sasaran kemenangan BN pada PRN Negeri Sembilan, Mohamad berkata gabungan itu tidak menetapkan jumlah kerusi tertentu, sebaliknya memberi fokus untuk membentuk kerajaan negeri.
“Kita tidak meletakkan sasaran tertentu, tetapi sasaran kita ialah membentuk kerajaan.
“Itu sudah memadai kerana kita berharap rakyat Negeri Sembilan memberikan peluang semula kepada BN untuk mentadbir negeri ini,” katanya lagi. – MalaysiaGazette
















